PAS diyakini mampu bina muafakat politik Sabah

politik
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak membawa prinsip dan falsafah politik berteras agama yang ekstrem sebagaimana didakwa sesetengah pihak, bahkan tidak juga tertutup untuk mendengar pandangan luar.

- Advertisement -

Sebaliknya, PAS dilihat mampu memainkan peranan dalam masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan agama selaras Islam yang sesuai dengan semua zaman dan keadaan.

Pakar Geo-Politik dan Elektoral Sabah (GeOpeS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid menyatakan pandangan itu dalam tulisannya yang disiarkan Berita Harian kelmarin.

Menurut beliau, PAS sejak awal penubuhannya dilihat mampu menyesuaikan pelbagai keadaan dan pertubuhan politik di mana pada akhir 1950-an pernah bekerjasama dengan Parti Negara dan Parti Rakyat Malaya.

“Awal 1970-an, ia bekerjasama dengan Umno dan semua parti utama bukan Melayu dalam komponen Barisan Nasional (BN). Pada 1990-an, PAS bekerjasama dengan Parti Semangat 46. PAS juga pernah bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR).

“(PAS) Jauh sekali menolak prinsip positif yang boleh membawa kerjasama dan muafakat positif demi kestabilan negara,” ujarnya menyatakan mengenai pelantikan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai ADUN (Dilantik) Sabah.

Optimisnya, PAS Sabah dilihat bakal membina wajah dan peranan baharu dalam politik Sabah sebagai antara anggota Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain diajukannya harapan kepada PAS untuk memberi sumbangan besar dalam membina muafakat politik berkat dan kestabilan politik negeri dan negara yang utuh.

Kata beliau, pemilihan Aliakbar sebenarnya pilihan tepat sebagai antara ADUN dilantik mewakili PAS dengan pengalamannya yang tidak dinafikan, manakala darjah kematangan diakui.

“Berpengalaman sebagai pensyarah kanan di UMS memberi asas positif kepada peranan bakal dipegangnya. Kelayakan Ijazah Doktor falsafah dalam kajian Pembandaran dan Pembangunan besar faedahnya kepada sumbangan pembangunan Sabah serta kestabilan politik amnya.

“Alasan menafikan perlantikan Aliakbar sebagai ADUN dilantik bersandarkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai hal berkaitan Kitab Injil dan Kristian, adalah tidak wajar.

“Apa di nyatakan Nik Muhammad bukan kenyataan rasmi PAS sebagai parti politik. Perlantikan Aliakbar harus dilihat dari sudut PAS sebagai parti komponen PN dan semangat kerjasama,” ujarnya.

Jelas Dr Mohd Noor, apabila GRS menang dalam PRN baru-baru ini, kemenangan itu tidak boleh hanya dilihat sebagai kemenangan PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) semata-mata.

Tetapi katanya, ia harus dilihat kemenangan semua parti politik dalam GRS, termasuk PAS di mana ahli PAS turut berjuang menjamin kemenangan GRS pada PRN itu.

Terangnya, walaupun PAS tidak bertanding pada mana-mana kerusi, tetapi alasannya memberi peluang kepada parti komponen serta alasan tempatan yang patut diterima PAS serta semangat toleransi antara parti komponen.

“Apabila GRS menang, wajar semua anggota parti komponen diberikan peluang dalam politik dan DUN Sabah. Satu kerusi wajar bagi PAS sebagai parti memberikan peranan sedemikian. Semangat dan falsafah kerjasama antara semua anggota parti politik bernaung di bawah payung sama penting dan perlu diterapkan.

“Ruang lantikan diberikan kepada PAS ini sangat penting bagi kerjasama dan sokongan berterusan parti itu kepada GRS khususnya PN. Andainya PAS langsung tidak diberi peluang dalam politik dan pentadbiran Sabah dengan saluran ADUN dilantik, kesan dan sokongan kurang baik oleh ahli PAS kemungkinan akan berlaku pada masa depan.

“Aliakbar pasti akan bertindak sebagai anggota komponen PN dan bukan sebagai ahli PAS yang tertutup. Sebagai anak Sabah, pasti beliau memahami apa akan dilakukannya.

“Ini membuka peluang kepada Aliakbar dan PAS Sabah mewarnai apakah parti PAS sebenarnya tanpa keluar daripada falsafah payung besar PN dan GRS,” yakini beliau. – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -