Kemahiran ICT ‘quwwah’ yang perlu dimiliki umat

- Advertisement -

SATU ketika masa di Mesir dulu saya pernah menghadiri satu kelas di rumah seorang sheikh yang mendiskusi buku Risalah Annur catatan Said Nursi Badiuzzaman. Selepas itu kelas tak dapat dilanjutkan sebab dia sering diganggu Polis Mesir. Saya pernah bertanyanya ketika membincangkan mengenai apakah ‘quwwah’ yang perlu dipersiapkan di zaman ini dari segi keutamaan dan keperluannya? 

Kerana jika kita membaca ada saranan dari Sheikh Abdullah Azam agar anak-anak umat Islam hari ini diajar mahir dengan senjata dan jangan berbasa basi terpedaya dengan sistem demokrasi dan sebagainya yang dicanangkan oleh musuh. Ada pula yang berpendapat zaman ini kemahiran dan penguasaan ekonomi yang paling penting dan ada pula yang cadang kemahiran ICT.

Beliau menjawab… ayat itu (  واعدوا لهم ما استطعتم من قوة   ) Allah S.W.T datangkan perkataan quwwah dalam bentuk nakirah, bermaksud tidak tertentu. Maknanya persiapkanlah apa sahaja quwwah atau kekuatan yang kita boleh selagi termampu… Apa sahaja sebanyak mungkin.

- Advertisement -

Marilah adik-adik generasi muda kita meningkatkan diri kita sebaik mungkin untuk mendepani zaman mendatang yang pastinya lebih mencabar lantaran kita semakin menuju ke penghujung zaman. Jangan risau, terkesan atau terpengaruh sangat dengan cabaran hari ini kerana cabaran ke depan pasti akan lebih rencam. 

Berusaha menguasai ilmu akhirat dan ilmu dunia sebanyak mungkin. Berusaha memiliki kemahiran yang pelbagai semampu mungkin. Jaga kesihatan sebaiknya dan berusahalah memiliki tubuh yang cergas, sihat dan berstamina. Buatlah yang terbaik dalam apa sahaja bidang dan gerak kerja yang diceburi.

Jangan buang masa kerana kita akan menyesal tertipu oleh usia. Rebutlah masa hidup, sihat, lapang, muda dan kaya sebelum semuanya berlalu. Doakan saya juga yang masih berusaha dan berusaha untuk membuat persiapan kekuatan dan menambah bekal selagi hayat masih ada.

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -