Covid-19 : KPPK sumbang barang kesihatan RM150k

Foto FB Hospital Tuanku Ja'afar

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyumbang peralatan dan barangan kesihatan kepada barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM140,000, hari ini.

Dengan kerjasama Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui KPPK memberikan seunit mesin Ventilator model Elisa bernilai RM120,000 dan pelitup muka sebanyak 20,000 helai.

Advertisement

Menterinya Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata kementeriannya sentiasa prihatin dalam usaha kerajaan khususnya KKM untuk membendung penularan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MPOA melalui KPPK telah menyumbang peralatan perubatan berjumlah lebih daripada RM5 juta kepada KKM.

“Sebelum ini, MPOA telah menubuhkan Tabung Covid-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.

“Sumbangan yang diberikan berupa peralatan perubatan seperti ventilator, kit ujian Covid-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan.

“Hospital yang menerimanya ialah Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Selayang, dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan,” ujarnya dalam satu sidang media di Auditorium Gemilang, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri KPPK dengan disaksikan oleh Pengarah Pentadbiran dan Perhubungan Kerajaan, MPOA, Ramzuz Mohd Rashid kepada Pengarah HTJS, Dr Zaleha Md. Noor. – HARAKAHDAILY 15/10/2020