Anwar ada majoriti atau Muhyiddin hilang kepercayaan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memiliki ‘nombor’ sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat tidak membawa makna Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang kepercayaan.

- Advertisement -

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, dalam konteks undang-undang belum ada keputusan yang menyatakan bahawa kepercayaan kepada seseorang itu sekali gus menunjukkan hilang kepercayaan buat Perdana Menteri.

Jelas beliau, ianya dua perkara berbeza yang memerlukan pembuktian bahawa kedua-dua itu saling bergandingan sebelum menyatakan Perdana Menteri telah hilang kepercayaan kerana kepercayaan diberikan kepada Dato’ Seri Anwar.

Beliau yang juga penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengupas perkara itu pada Wacana Sinar Harian membawa tajuk ‘Kesan Gerak Politik Anwar Kepada Kerajaan Muhyiddin’, kelmarin.

Terang Prof Dr Shamrahayu, Perdana Menteri tidak perlu membuktikan kepercayaan dimiliki, sebaliknya pihak yang membawa sesuatu bertentangan dengan perkara nyata ketika ini yakni Dato’ Seri Anwar mesti mengemukakan bukti.

“Dari segi undang-undang, bila seseorang yang mempersoalkan perkara yang zahir itu, dalam kes ini Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka dia hendaklah buktikan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang kepercayaan dulu, sebelum dibuktikan bahawa dirinya telah diberikan kepercayaan,” jelasnya.

Sementara itu, Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed dalam kupasan sama menegaskan bahawa nombor yang didakwa itu tidak boleh berdiri sendiri melainkan perlu ada isinya iaitu Ahli-ahli Parlimen terbabit.

Di mana jelasnya, pihak yang paling utama untuk mengetahuinya adalah Yang di-Pertuan Agong sebelum Baginda dapat melakukan proses pengesahan terhadap nama-nama menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Kita mungkin boleh tahu bahawa 91 daripada Pakatan Harapan. Bagaimana pula lagi 29 Ahli Parlimen tersebut? Untuk mengenal pasti 29 ini, dia boleh jadi datang daripada pelbagai parti politik. So, sekiranya diperincikan nama itu.

“Maka ia mempermudahkan proses verifikasi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk bertanya kepada nama-nama tersebut, sama ada mereka menyokong Dato’ Seri Anwar ataupun tidak.

“Tapi pada ketika ini, nombornya ada, tapi nama orang yang menyokongnya belum ada. Jadi dekat situ akan menyukarkan sedikit daripada segi proses,” ujar beliau yang juga Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM). – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -