Air alkali: Jujurkan keterangan fakta

SUDAH beberapa kali saya menulis pasal air alkali. Tulisan saya jelas, kalau nak minum, nak jual silakan – mungkin ianya sumber pencarian sebahagian dari kita. 

Cuma… kena jujurlah dengan teknik jualan. Jika sekiranya juru jual membuat tuntutan yang berlebihan (over claim)seperti boleh merawat kanser, merawat penyakit kronik dan seumpamanya, ianya sudah melepasi batas (cross the board) dari sudut perubatan. Bahkan ianya bersalahan dengan Akta Pengiklanan 1956 dan Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Jika pengguna nak juga menggunakan air beralkali itu, dengarlah nasihat ini:

(1) Kepada pesakit buah pinggang, berhati-hati meminumnya kerana kandungan mineral tinggi terutama Potasium boleh memudaratkan lagi kegagalan buah pinggang yang sedia ada.

Advertisement

(2) Jangan mudah terpedaya dengan testimoni. Testimoni adalah tidak boleh diterima secara umum untuk merawat pesakit. Bahkan sebahagian kajian air alkali yang dilakukan adalah bias dan tiada keputusan yang definitif.

(3) Isi kandungan air beralkali tidak dapat ditentusahkan oleh pihak berwajib kerana tidak berdaftar. Apa sahaja yang diisytiharkan oleh mereka tidak pasti. Jika peniaga jujur, mereka tidak memasukkan bahan terlarang lain. Sebalik jika dimasukkan bahan terlarang, pengguna juga yang akan menanggung akibatnya. Tiada jaminan yang boleh diberikan.

(4) Jika juru jual tunjukkan artikel sains yang kononnya doktor tertentu telah berjaya merawat penyakit melalui kaedah air alkali, tunggu dulu. Mohon dapatkan nama doktor itu, buat sedikit carian atau bertanyakanlah kepada individu profesional yang anda percayai. Jangan cepat melatah.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 15/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.