Tiga dekad dasar Membangun Bersama Islam

- Advertisement -

BERAKHIRNYA tragedi di Istana Negara pada 13 Oktober 2020 berhasil membuatkan tumpuan dan perhatian rakyat beralih kepada isu sebenar, iaitu usaha mengembalikan rakyat negara ini ke landasan al-Quran dan Sunnah. Lupakan ‘politik acah’ yang dilakonkan oleh aktor-aktor politik murahan. Mereka hanya mencari populariti, bukannya mahu mengangkat martabat rakyat.

Mari kita bawa seluruh nostalgia dan ingatan kita kepada perjuangan panjang untuk mengangkat nilai kemanusiaan melalui pengabdian kepada Allah yang diusahakan oleh PAS di Kelantan sejak 30 tahun dahulu. Pada tanggal 21 Oktober 1990, berlangsungnya Pilihan Raya Umum Kelapan, di mana PAS yang mengadakan persefahaman politik dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU – S46, Berjasa, Hamim dan Kimma) telah berjaya merampas Kelantan dari Barisan Nasional. Pakatan PAS-APU menyapu bersih 39 kerusi DUN Kelantan ketika itu.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (ADUN Semut Api) telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990. Beliau meletakkan tema Membangun Bersama Islam (MBI) sebagai dasar Kerajaan Negeri Kelantan. Sejak itulah, dasar MBI menjadi teras pentadbiran dan pembangunan Negeri Serambi Mekah.

Kelantan sebagai negeri tadahan wahyu telah membuat pelbagai pembaharuan pentadbiran berasaskan Islam yang akhirnya ditiru oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang lain. Sepanjang 30 tahun ini, Kelantan menjadi model bagi memaparkan konsep politik dan pentadbiran Islam, sekali gus menjadi jawapan terhadap fitnah-fitnah yang dilemparkan terhadap Islam, khususnya oleh golongan Sekular.

Dalam tempoh seminggu dari sekarang, tarikh 21 Oktober akan kembali menemui rakyat Malaysia. Kali ini, ulang tahun ke-30 atau tiga dekad usia dasar MBI. Kelantan hari ini terkenal kerana menjadi negeri ‘bebas rasuah’ dan diberikan ‘rating’ yang tinggi oleh auditor dan badan piawai pentadbiran. Di bawah kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (1990-2013) dan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakub (2013-2020), Kelantan kini telah melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri yang sejahtera untuk Islam.

Kita mendoakan supaya Kelantan sebagai negeri yang berpegang kepada dasar Islam ini terus maju ke hadapan menjadi contoh untuk sebuah ‘ideal state’ pada masa hadapan.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -