Proklamasi Darurat jalan keluar tangani COVID-19

- Advertisement -

BANYAK negara di dunia telah mengisytiharkan darurat bagi menghadapi wabak COVID-19. Satu badan antarabangsa iaitu The Centre for Civil and Political Right (CCPR-Centre) telah merekodkan bahawa terdapat 79 negara telah mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas menangani pandemik COVID-19. Negara-negara berkenaan termasuklah Australia, Indonesia, Finland, Brazil, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Libya, Filipina, Thailand, Argentina dan Jordan. Malaysia adalah antara sebahagian negara yang belum mengisytiharkan darurat bagi menangani COVID-19. 

Buat masa ini langkah menangani COVID-19 dilaksanakan melalui undang-undang biasa terutamanya Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) misalnya dilaksanakan di bawah kuasa Menteri Kesihatan yang diperuntukkan dalam akta berkenaan. Seksyen 11(1) misalnya, memberikan kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan melalui Warta Kerajaan bahawa sesuatu kawasan itu sebagai kawasan jangkitan. Manakala, seksyen 11(2) memberi kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan bagi mengawal atau mencegah merebaknya apa-apa penyakit berjangkit. 

- Advertisement -

Melalui akta ini juga jentera kerajaan termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberikan peranan untuk menguatkuasakan PKP. Seksyen 3(1) membolehkan Menteri Kesihatan melantik sesiapa sahaja yang sesuai untuk menjadi ‘pegawai diberi kuasa’ untuk menguatkuasa peraturan yang telah dibuat. Dalam konteks ini, kesemua anggota agensi-agensi yang dinyatakan di atas termasuk dalam definisi ‘pegawai diberi kuasa’.

Seksyen 11(3) (b) pula menyebut skop kuasa yang luas kepada ‘pegawai diberi kuasa’ untuk melakukan ‘apa-apa langkah sebagaimana yang difikirkan perlu’ untuk mengawal penyakit itu. Manakala seksyen 11(4) pula menyebut bahawa ‘adalah sah bagi seseorang pegawai diberi kuasa menggunakan kekerasan, dengan bantuan atau tanpa bantuan, yang perlu dan menggunakan apa-apa cara yang mencukupi untuk memastikan bahawa apa-apa arahan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (3) dipatuhi’.

Kerajaan telah menggunakan seluruh ruang yang ada dalam akta berkenaan untuk melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan termasuklah beberapa siri dan kategori PKP. Kaedah ini digunakan sejak dari PKP pertama yang bermula pada 18 Mac 2020 lalu. Kaedah ini mudah, cepat dan kurang konroversi berbanding pengisytiharan darurat. Namun begitu, setelah tujuh bulan berlalu, adalah wajar untuk kita menilai kembali sama ada kita boleh terus bertahan dengan kaedah ini atau perlu wujud satu langkah yang lebih konkrit dan berstruktur.

Dari sudut sumber kuasa, kaedah menangani COVID-19 berteraskan Akta 342 semata-mata kelihatan agak janggal. Di atas kertas, Menteri Kesihatan memberikan kuasa kepada MKN, PDRM dan ATM untuk menguatkuasakan PKP. Perlu diingat MKN turut dianggotai oleh Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kanan. Adalah ganjil bila seorang Menteri ‘menurunkan’ kuasanya kepada pemegang kuasa yang lebih tinggi. Kaedah ini mungkin diizinkan sebagai mekanisme segera dan sementara, tetapi ia tidak sesuai untuk terus dikekalkan begitu. 

Sebagai alternatif, MKN serta seluruh agensi-agensi penguatkuasa boleh diberikan kuasa melalui satu ordinan darurat khusus untuk COVID-19, dan kuasa-kuasanya diberikan melalui Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Kaedah ini lebih kukuh dan selari dengan kaedah tadbir urus yang berkesan.

Selain itu, mekanisme yang ada di bawah Akta 342 sekarang tertakluk kepada ruang lingkup merawat, mengasingkan dan membuat tindakan yang sesuai ‘untuk mengawal penyakit’. Aspek kesejahteraan rakyat dari aspek lain seperti kelancaran pergerakan, kebajikan, agihan ekonomi, kebersihan umum, dan seumpamanya di luar dari skop akta berkenaan, sedangkan ia amat berkaitan dengan kesan wabak COVID-19. Jika darurat diisytiharkan institusi yang menguruskan krisis COVID-19 akan dapat meluaskan skop peranan bukan sahaja kepada aspek kawalan penyakit, bahkan juga kepada seluruh perkara yang memberi kesan kepada rakyat dalam menghadapi wabak ini.

Cabaran yang dihadapi oleh negara dan dunia kini adalah satu cabaran yang luar biasa atau ‘unprecedented’, maka adalah wajar ia ditangani berasaskan satu langkah perundangan yang kukuh. Pergantungan kepada satu akta dalam menghadapi gelombang COVID-19 ini tentunya tidak memadai. Fungsi Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen undang-undang induk yang melindungi rakyat melalui kerangka perundangan perlu dimanfaatkan. Proklamasi Darurat memang tersedia dalam perlembagaan. Saat beginilah ia perlu digunakan. Perjuangan menghadapi COVID-19 belum berakhir, bahkan semakin sengit. Untuk menang kita perlukan senjata perundangan terbaik, dan kita sememangnya memiliki senjata berkenaan iaitu Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini bertepatan dengan gesaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Resolusi Perhimpunan Agung PBB 11 September 2020 lalu yang menegaskan antara lain: 

“The UN calls upon Member States to put in place a whole-of-government and whole-of-society response, outlining both immediate and long-term actions, with a view to sustainably strengthening their health system and social care and support systems, and preparedness and response capacities, engaging with communities and collaborating with relevant stakeholders…”

Apabila berlaku kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi ramai yang memberikan cadangan agar Pilihan Raya Kecil ditangguhkan atau dibatalkan. Dari sudut perlembagaan, proses demokrasi biasa tidak boleh tertangguh. Bila berlaku kekosongan kerusi Perlimen, ia perlu diisi melalui PRK dalam tempoh 60 hari. Satu-satunya cara untuk membatalkan PRK ialah melalui Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150. Oleh yang demikian, jika Proklamasi Darurat Covid-19 diisytiharkan, kerajaan dapat menggantungkan keseluruhan proses pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Umum jika berlaku sesuatu yang luar jangkaan. 

Dalam konteks kedudukan politik yang tidak menentu dengan jumlah sokongan majoriti tipis yang dimiliki oleh kerajaan hari ini, rakyat sentiasa terdedah dengan risiko Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh wabak COVID-19 yang belum berakhir. Peningkatan mendadak kes COVID-19 selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini cukup menjadi pengajaran. Proses demokrasi itu penting, tetapi ia perlu terlaksana tanpa mengorbankan sesuatu yang lebih penting termasuklah nyawa dan ekonomi negara. Dalam hal ini jalan keluar terbaik ialah dengan mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang dan perlembagaan berperanan untuk menyelesaikan masalah negara dan rakyat. Elemen yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan kini mampu dimanfaatkan untuk menjadi asas perundangan dalam mengambil langkah terbaik bagi memenangi peperangan dengan wabak COVID-19. Proklamasi Darurat bukan bermaksud perang atau kekacauan, tetapi adalah satu jalan keluar bagi mengatasi halangan pentadbiran dalam menangani sesuatu situasi dan ancaman yang mendesak. Ia bukan sahaja untuk mendepani isu keselamatan, bahkan ia boleh digunakan bagi menghadapi situasi ancaman ekonomi, wabak penyakit, bencana dan lain-lain.

Sama-sama kita doakan agar rakyat dan kerajaan diberikan keteguhan dan kekuatan untuk mengatasi wabak COVID-19. Semoga rahmat dan keberkatan sentiasa mengirisi usaha murni seluruh rakyat untuk memenangi perang ini. Insya-Allah, dengan rahmat Allah, serta dengan kesetiaan rakyat dan kebijaksanaan pemimpin kita dapat kembali semula seperti keadaan yang normal seperti sebelum ini. 

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF 
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Pusat Polisi Perdana,
Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, 
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 14/10/2020

 PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -