Peralihan sokongan perlu dibuktikan – Pakar Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Proses pelantikan Perdana Menteri dan seterusnya pembentukan kerajaan perlu dibuktikan dengan jelas terutama mengenai peralihan sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, demikian menurut pandangan pakar perlembagaan.

Mereka berkata walaupun dalam perundangan tidak menyatakan secara terperinci mengenai kaedah dalam menentukan kedudukan Perdana Menteri yang hilang majoriti atau pihak mendakwa mendapat sokongan majoriti, peralihan sokongan itu secara kebiasaannya dibuktikan melalui akuan bersumpah (SD) ahli Dewan Rakyat.

Justeru, mereka menyifatkan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, menunjukkan proses tersebut belum dipenuhi.

Advertisement

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata kenyataan Istana Negara bahawa Anwar tidak mengemukakan senarai Ahli Parlimen yang menyokongnya setakat ini memberi gambaran bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hilang majoriti.

“Proses membentuk kerajaan atau melantik Perdana Menteri perlu melalui proses jelas. Pertama kena beri gambaran jelas bahawa Perdana Menteri tidak mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat.

“Kedua, pihak mendakwa mendapat sokongan kena tunjukkan sokongan yang jelas seperti ada senarai nama jelas mengenai peralihan sokongan yang nyata (dalam Parlimen). Teguran dari Istana menunjukkan perkara itu tidak berlaku. Seolah-olah apa berlaku ini acah-acah politik.
 
“Dalam perundangan memang tidak dinyatakan secara jelas mengenai cara atau kaedah secara terperinci mengenai perdana menteri yang hilang sokongan atau pihak mendapat sokongan. Tapi melalui amalan kebiasaan, perkara ini boleh dinyatakan dengan jelas dengan mengemukakan SD Ahli Parlimen atau senarai nama,” katanya.

Beliau mengulas demikian ketika dihubungi Bernama mengenai kemelut politik melanda negara susulan tindakan Anwar yang juga Ketua Pembangkang menghadap Al-Sultan Abdullah untuk membentuk kerajaan selepas mendakwa mendapat sokongan majoriti lebih 120 Ahli Parlimen.

Anwar, bagaimanapun, hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan terhadapnya untuk membentuk kerajaan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.

Namun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan Istana Negara, berkata Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pakar perlembagaan yang juga penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata teguran Istana Negara itu menunjukkan Ketua Pembangkang itu tidak mengikut proses undang-undang yang sepatutnya.
 
“Mengikut Perkara 43 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

“(Bagaimanapun) belum ikut proses sebab tidak membuktikan yang Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan (majoriti dalam Parlimen). (Anwar) perlu buktikan yang Perdana Menteri tiada majoriti dan beliau mendapat sokongan majoriti dengan jelas,” katanya.

Dr Shamrahayu berkata “jika mengikut Perkara 43 Fasal 4, seorang Perdana Menteri yang hilang majoriti boleh berjumpa Agong dan meletak jawatan, atau Agong membubarkan Dewan dengan nasihat Perdana Menteri.

Terdahulu semalam, Anwar pada sidang media khas beberapa jam selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong memaklumkan telah mempersembahkan dokumen ‘sahih’ sokongan lebih 120 Ahli Parlimen terhadapnya kepada Al-Sultan Abdullah. – BERNAMA