Peralihan kerajaan jangan dibuat teka-teki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sesebuah negara yang dibentuk adalah milik khalayak dan sebarang pertukaran atau peralihan perlu dilakukan secara telus tanpa mengelirukan rakyat, kata Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar.

Beliau berkata jika terdapat pemimpin parti yang mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, maka ia juga perlu dimaklumkan kepada rakyat secara terbuka. 

“Jangan jadikan ini teka teki, jangan dipermain-mainkan rakyat, meletakkan rakyat dalam keliru, jika ada (majoriti) beritahu dengan telus, beritahu siapakah dia, dari parti mana,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan ‘Ruang Bicara: Survival Politik vs Survival Rakyat’ terbitan Bernama TV semalam. 

- Advertisement -

Kemelut politik melanda negara susulan tindakan Pengerusi PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk membentuk kerajaan selepas mendakwa mendapat sokongan majoriti lebih 120 Ahli Parlimen.

Anwar, bagaimanapun, hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan terhadapnya untuk membentuk kerajaan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.
 
Namun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan Istana Negara, berkata Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.

Mengulas lanjut, Khairil Azmin secara peribadi berpendapat tiada keperluan untuk Al-Sultan Abdullah untuk memanggil Ahli Parlimen, ketua parti malah Perdana Menteri sekalipun untuk menghadap baginda bagi membuktikan kenyataan Anwar itu.

Katanya, beliau melihat perkara itu berdasarkan kepada kenyataan Istana Negara sendiri, yang dengan jelas menunjukkan bahawa Anwar sebenarnya tidak mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan dakwaan beliau mendapat sokongan tersebut.

“Saya tidak nampak perlunya Yang di-Pertuan Agong memanggil Perdana Menteri sekalipun kerana tidak ada bukti untuk meyakinkan mana-mana pihak bahawa ada orang lain daripada Perdana Menteri sekarang yang mempunyai sokongan majoriti,” katanya.

Beliau juga berkata politik antara lain diciptakan untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan sekiranya pemimpin parti hanya bermain dengan ‘angka majoriti’ serta isu lompat parti, maka secara tidak langsung perhatian terhadap rakyat juga akan berkurangan.

“Parti politik perlu jaga kemaslahatan rakyat bukan untuk mengutamakan pemimpin mereka untuk menjadi ketua kerajaan, ini mentaliti amat menyedihkan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -