Pemimpin politik jangan gemar cetus kucar-kacir

- Advertisement -

PARIT: Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan peluang bersiaran langsung untuk menjelaskan tadbir urus pemerintahannya tanpa mengambil kesempatan menjawab isu politik sememangnya wajar dipuji.

- Advertisement -

Bendahari Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, mungkin bagi lawan atau pihak yang tidak menyokong Presiden BERSATU akan cuba menonjol kelemahannya, tetapi beliau yakin ramai menyenangi pendekatan Muhyiddin.

Bahkan menurut Ustaz Ismi, fokus Muhyiddin kepada kepentingan rakyat mengatasi isu politik dan perebutan kuasa yang hangat semalam menunjukkan keutamaan beliau kepada melakukan dan membawa kebaikan untuk orang lain.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ini juga berkata, hal tersebut selari hadis Rasulullah bahawa orang Islam yang sempurna Islamnya apabila ia menjadikan lisan dan perbuatannya mendatangkan kebaikan dan keselamatan buat orang lain.

Beliau juga selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Parit menyeru pemimpin politik sama ada di blok pembangkang mahupun kerajaan untuk bersikap matang dan meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama.

Peringatnya, ahli politik tidak harus mempunyai ‘kegemaran’ untuk mencetuskan provokasi dan tindakan yang boleh mengkucar-kacirkan keadaan tanpa mempeduli perkembangan sedang dihadapi rakyat dan negara ketika ini.

Kesali beliau, keengganan sesetengah pihak untuk tunduk dan akur bahawa mereka sudah tidak mempunyai majoriti telah memaksa dan mengheret rakyat bahkan kerajaan ke dalam krisis dan ketidakstabilan politik.

“Kepada semua pemimpin di semua peringkat, ayuh kita bersama hadapi perang COVID-19 ini. Perang ini besar dan kita tidak mampu mengharunginya tanpa kerjasama semua pihak.

“Letak ke tepi dahulu soal politik dan perebutan kuasa, negara dan rakyat sedang bertarung dengan krisis kesihatan bahkan ekonomi antara yang paling teruk dalam sejarah. Usah ditambah derita jika tidak mahu mengurangkannya,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -