Pahang Berdoa mohon COVID-19 segera berakhir

- Advertisement -

KUANTAN: Seluruh umat Islam diseru untuk mengimarahkan program Pahang Berdoa 2020 sebagai munajat memohon kepada Allah S.W.T agar segera mengangkat virus COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, pengurusan masjid, surau dan pondok tahfiz di seluruh negeri ini boleh mengambil peranan menyemarakkan program anjuran Kerajaan Negeri Pahang itu.

“Saya menyeru semua untuk hadir ke program Pahang Berdoa ini. Mudah-mudahan dengan perhimpunan kita, munajat kita, doa kita diangkat Allah S.W.T untuk kita dapat menyembuhkan atau memulihkan negara kita dari wabak COVID-19 yang sedang menular ketika ini.

“Di samping itu juga kita berdoa Allah mengurniakan kemakmuran dalam negara kita dan mengurniakan kepada kita kekuatan, iman dan amal. Hadirlah sebagai tanda prihatin dan sokongan, sekali gus tanda penghambaan diri kita kepada Allah S.W.T.

“Hanya Allah sahaja Maha Berkuasa menghindarkan kita dari segala mudarat di dunia dan akhirat,” ujar beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur.

Program ini telah disarankan diadakan serentak bermula solat Maghrib, diikuti solat Hajat dan seterusnya acara ‘Pahang Berdoa’ dan diakhiri solat Isyak di semua premis di negeri ini bermula jam 7 malam hari ini.

Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru agar rakyat negeri ini mengadakan serentak seruan tersebut di mana-mana sahaja di seluruh negeri ini agar Allah menamatkan episod penularan COVID-19 di bumi ini.

Terdahulu pihak PAS Pahang juga telah menganjurkan program seumpama pada 7, 8 dan 9 Oktober baru-baru ini secara serentak selama tiga hari berturut-turut itu agar COVID-19 mampu dibendung segera. – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -