Kedudukan sebagai Presiden KFA diputuskan esok

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor akan membuat keputusan mengenai kedudukannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) esok.

- Advertisement -

Beliau berkata walaupun sebelum ini surat peletakan jawatan sebagai Presiden telah dihantar kepada KFA pada 25 September lepas namun ia ditolak persatuan itu dan ada beberapa pihak kemudian memintanya mempertimbang semula perkara tersebut.

“Dalam surat itu, peletakan jawatan saya berkuat kuasa 15 Oktober iaitu esok, oleh kerana KFA menolak dan ada pihak yang datang jumpa untuk tarik balik, saya akan pertimbangkan keputusan itu.

“Saya akan ikut keperluan yang mana lebih baik, sama ada saya berundur atau kekal, esok akan diputuskan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Muhammad Sanusi diminta mengulas keputusan Jawatankuasa Eksekutif KFA pada 11 Oktober lepas yang menolak peletakan jawatannya sebagai presiden persatuan itu.
 
Muhammad Sanusi juga memberi bayangan beliau mungkin kekal sebagai Presiden KFA sekiranya masalah hutang yang ditanggung persatuan itu tidak dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, tanpa menyatakan secara terperinci, beliau optimis hutang sedia ada yang masih ditanggung KFA kira-kira RM8 juta akan diselesaikan sepenuhnya esok.

“Saya nak selesai hutang, insya-Allah esok selesai semua hutang. Saya sudah cari RM6.7 juta untuk selesai yang tertangguh, jadi saya kena cari lagi RM8 juta yang mana esok selesai,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata hutang yang masih tertangguh melibatkan bayaran gaji pemain bagi bulan April hingga Jun selain bayaran lain merangkumi Kumpulan Simpanan Wang Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan bayaran kepada syarikat ejen pelancongan.

“Tapi saya tabik dengan pemain pasal semua isu hutang, gaji tertangguh tidak jejas permainan mereka di padang, mereka profesional, masuk dalam padang, main sampai menang, itu saya tabik mereka,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -