Hubungan PN di Kedah masih utuh

Foto UPDA
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah di bawah Perikatan Nasional (PN) stabil dan hubungan semua parti gabungan masih kuat dan utuh.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hubungan antara pemimpin PN termasuk dari Umno berjalan seperti biasa.

- Advertisement -

“Kemungkinan ada beberapa keputusan parti yang mesti mereka patuh seperti mana parti lain juga, namun tidaklah sehingga memberi kesan kepada kerajaan negeri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Dato’ Ahmad Maslan mengenai Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada PN.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, masalah itu adalah urusan dalaman Umno.

Namun dia menganggap kenyataan pemimpin terbabit terserah kepada parti itu untuk membuat apa-apa tindakan.

Bagaimanapun Muhammad Sanusi berharap pemimpin tidak mencemarkan bidang politik yang merupakan penerusan seperti yang dilaksanakan para nabi.

“Politik bertujuan untuk mengurus umat manusia dan negara, bukan untuk dibuat percaturan serta dipermain-mainkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -