Anwar jangan salah guna hak yang ada

- Advertisement -

SEHINGGA saat ini saya percaya banyak ulasan dan pandangan telah diberikan pelbagai pihak berhubung insiden 13 Oktober semalam, iaitu peristiwa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenankan mengadap Yang di-Pertuan Agong. Padanlah dengan yang ada.

Sesungguhnya jantung Kuala Lumpur berhenti bendenyut buat seketika kerana terpaku dengan peristiwa ini. Bayangkan kerajaan di Putrajaya kononnya akan berubah tangan lagi melalui langkah Anwar Ibrahim itu. Namun selepas siang berlalu jantung KL kembali kencang berdenyut, kerana rupanya ombak sekadar kencang kedengaran, malangnya pasir sebutir pun tidak kelihatan.

Apa yang membimbangkan pada saya adalah kenyataan Anwar mengenai kedudukannya. Sama ada sebelum atau selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong berulangkali beliau nyatakan:

- Advertisement -

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.” (Sidang media 23 September)

Semalam di Le Meridien beliau dilaporkan berkata:

Dalam sidang media itu juga Anwar mengulangi pandangannya bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin ‘sudah jatuh.’

Jatuh 23 September mengikut Anwar dan jatuh lagi 13 Oktober tetapi sehingga hari ini Muhyiddin kekal Perdana Menteri (PM) yang sah. Tidakkah bahaya dan ada unsur mahu mencetuskan porak-peranda melalui kenyataan seumpama ini.

Siapa jadi PM bukankah itu kuasa Yang di-Pertuan Agong? Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 memperuntukkan dengan jelas kuasa itu. Siapakah Anwar untuk menentukan?

Bagi saya kita diberikan kebebasan bersuara, berpolitik dan berebut kuasa secara demokratik tetapi janganlah sehingga mencetuskan ketegangan, huru-hara dan porak-peranda. Jangan salah gunakan hak itu sehingga negara menjadi kucar-kacir dan rakyat menjadi mangsa. Hormatilah Perlembagaan Negara, undang-undang dan peraturan yang ada.

Kini isu kepimpinan ini telah diserahkan kepada kebijaksanaan YDP Agong menurut Perlembagaan, maka sehingga sesuatu diputuskan janganlah merampas hak Baginda pula sehingga mendakwa Muhyiddin ‘sudah jatuh’.

Semoga kedaulatan dan keamanan negara terpelihara dan mana-mana anasir yang cuba mencetuskan kekacauan segera diambil tindakan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -