Ummah akan buat laporan polis ke atas Anwar

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mempersoalkan kegagalan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mengemukakan bukti yang cukup dan kukuh berhubung sokongan konklusif ahli parlimen yang diperolehinya kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata Ahli Parlimen Port Dickson itu cuba untuk mempermainkan institusi Raja dan Perlembagaan Persekutuan apabila gagal untuk menyenaraikan nama ahli parlimen yang menyokongnya.

- Advertisement -

Sebelum ini, Anwar tidak mendedahkan kepada umum senarai nama sokongan yang diperolehinya ekoran menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang belum dimaklumkan.

Namun setelah pertemuan selama 25 minit diadakan bersama Baginda Yang di-Pertuan Agong, butiran terperinci mengenai sokongan tersebut masih gagal dikemukakannya.

Sementara itu, Mohd Zai berkata, pihaknya akan membuat satu laporan polis terhadap kenyataan media Ketua Pembangkang baru-baru ini agar siasatan dapat dijalankan.

Ujarnya, tindakan Anwar itu boleh menimbulkan keresahan dan keadaan yang gawat dalam kalangan rakyat dan boleh mencetuskan huru-hara serta menjatuhkan ekonomi negara.

Terdahulu Anwar hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi meneruskan hasratnya mempersembahkan keterangan bahawa dia mempunyai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya sekali gus menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun menerusi kenyataan dari istana melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin petang tadi menjelaskan Anwar hanya mengemukakan jumlah sokongan tanpa sertakan senarai nama bagi menyokong dakwaannya itu.

Justeru, Al-Sultan Abdullah menasihatkan Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -