Tiada layanan istimewa – PM

Foto FB Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan tiada layanan istimewa diberikan kepada mana-mana anggota kabinet yang melanggar undang-undang, sama ada dalam isu berkaitan Covid-19 atau perkara lain.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, mana-mana anggota kabinet baik menteri atau timbalan menteri yang melakukan kesalahan akan diadili mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan sama seperti mana rakyat biasa diadili.

- Advertisement -

Mengambil contoh isu membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, katanya polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Kini, terpulang kepada AGC untuk memutuskan sama ada individu terbabit akan didakwa atau sebaliknya.

Kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, perkara tersebut bergantung kepada hasil siasatan pihak polis.

Muhyiddin dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebooknya menambah, isu pilih kasih dan perbezaan layanan antara golongan menteri dan rakyat biasa sebenarnya diakui merupakan isu membabitkan sentimen dan persepsi masyarakat.

Contohnya, apabila rakyat melihat dirinya tidak memakai gelang kuarantin dan mempersoalkan perkara itu.

Sedangkan kata Muhyiddin, hanya individu dan beberapa anggota kabinet yang menjadi kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sahaja yang perlu memakai gelang berkenaan.

“Saya orang yang paling patuh undang-undang. Saya tak pakai gelang kuarantin kerana petugas kesihatan, berdasarkan perkiraan mereka sendiri, memutuskan saya tidak perlu memakainya.

“Jika dibandingkan dengan (Menteri Dalam Negeri) Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Takiyuddin Hassan, mereka duduk di sebelah Dr Zulkifli.

“Saya pula duduk jauh, kira-kira 10 hingga 15 meter (daripada Dr Zulkifli). Saya hanya ikut arahan petugas kesihatan. Jika mereka suruh saya pakai gelang di tangan atau di kaki, saya akan akur,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau mengelak daripada berjumpa pihak media, kata Muhyiddin, dia sebenarnya lebih senang untuk meletakkan fokus kepada kebajikan negara terlebih dahulu berbanding bermain politik.

Malah, ujarnya turut khuatir sekiranya rakyat tersalah faham atas tindakannya untuk mengulas hal politik ketika saat ini.

“Saya bukan tidak buat sidang media atau mengelak media. Cuma saya memberi fokus kepada isu yang dihadapi negara setiap hari seperti Covid-19 dan soal pemulihan ekonomi.

“Media adalah satu perkara yang saya beri keutamaan, walaupun ramai yang berminat ingin tanya soalan politik. Nanti rakyat fikir saya lebih suka bermain politik daripada menjaga kebajikan negara,” kata beliau.

Sidang media itu diadakan secara langsung dari kediamannya memandangkan Perdana Menteri kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari sejak 5 Oktober lalu. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -