Tiada Ahli Parlimen PAS sokong Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan sokongan penuh parti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan menafikan sokongan kepada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Bagaimanapun PAS katanya, dalam masa sama bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk perubahan kerajaan, namun menolak dakwaan kononnya dua Ahli Parlimen parti ini menyokong Anwar sebagaimana senarai tular.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, semua pihak mempunyai hak dari sudut Perlembagaan, namun dalam situasi COVID-19 yang melanda negara ketika ini, soal itu (pertukaran kerajaan) perlu diketepikan.  

“Dalam situasi COVID-19 yang melanda negara dan ekonomi yang belum pulih selain rakyat berdepan tekanan, keutamaan kita seharusnya pada isu yang melibatkan kepentingan rakyat daripada lihat isu kecamuk politik yang tidak selesai,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi pencemaran tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson, hari ini. 
 
Ustaz Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, parti itu ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya berikutan kunjungan menghadap Anwar ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

“Apa yang pasti, seramai 18 Ahli Parlimen PAS sokong kepada Perdana Menteri,” katanya. 

Anwar pada 23 September lepas mendakwa mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Terdahulu Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan turut menegaskan perkara sama dan menyatakan bahawa PAS tidak terkesan langsung dengan retorik yang dibawa oleh Anwar konon mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, PAS mengganggap isu yang dibangkitkan oleh individu sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan serta cita-cita peribadi di samping ‘menangguk di air keruh’ ketika Kerajaan PN sedang menguruskan masalah COVID-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.

“Dalam hal ini PAS sekali lagi amat yakin Yang di-Pertuan Agong tidak akan melayan tindakan ‘desprados’ ini, sebaliknya Baginda akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara yang amat jelas.

“PAS turut berharap Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, di samping mengakibatkan terjejasnya sektor ekonomi negara dari tindakan tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -