Senarai 121 Ahli Parlimen adalah berita palsu?

- Advertisement -

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Dato’ Huzir Bin Mohamed, semalam telah mengesahkan bahawa YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim telah diminta untuk hadir memberi keterangan ke atas kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

- Advertisement -

Dua perkara penting yang membawa banyak makna yang ditegaskan oleh PDRM adalah:
(1) Orang ramai diminta agar tidak gusar dengan penyebaran berita tersebut.
(2) PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan berita palsu, tidak sahih dan mengelirukan orang ramai.

Lebih penting lagi adalah dua seksyen yang digunakan untuk menyiasat kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim ini, iaitu Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan adalah berbunyi: “Barang siapa membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman; hendaklah diseksa dengan penjara yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.”

Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia pula adalah berbunyi: “Seseorang yang— (a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar— (i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan (ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; melakukan suatu kesalahan” yang, mengikut Seksyen 233 (3), “apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan”.

Begitulah beratnya kesalahan menyebarkan berita begitu.

Tahniah kita ucapkan kepada PDRM atas tindakan pantas mereka.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 13/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -