Sambutan 3 Dekad Pentadbiran MBI

- Advertisement -

SEJARAH pentadbiran Islam di Kelantan kembali dikenangi sempena Sambutan 3 Dekad (30 tahun) Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI). Pada tanggal 21 Oktober 1990, era kepimpinan ulamak kembali menyinari Kelantan setelah Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menjawat sebagai Menteri Besar Kelantan. Sejarah kegemilangan pentadbiran yang sudah pasti melalui pelbagai mehnah dan tribulasi wajib dipahat dalam jiwa generasi sekarang bagi menghayati perjuangan serta pengorbanan golongan terdahulu dalam menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang menobat tinggi sistem hidup Islam dalam segenap lapangan hidup.

Tarikh keramat 21 Oktober 2020 semakin mendekati, yang menjadikan Kelantan genap 3 dekad menaungi rakyat di bawah lembayung Islam. Hal ini sudah tentu sekali gus mengangkat martabat Kelantan sebagai sebuah Baldah Toyyibah dalam mengemudi rakyatnya berteraskan dasar MBI. Walaupun sambutan pada tahun ini agak berlainan dalam suasana norma baharu kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan-Pemulihan (PKPP) yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2020, namun Kerajaan Negeri telah menetapkan beberapa program utama yang bakal dilaksanakan dengan mematuhi SOP yang ketat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan 3 Dekad MBI, Dato’ Haji Mohd Amar bin Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan telah menyelaras 11 program di peringkat kerajaan yang melibatkan semua portfolio di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan digerakkan secara terpandu oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) sebagai Urus Setia Sambutan. Sambutan berkenaan akan bermula pada Oktober ini dan berakhir sehingga 31 Disember 2020 di pelbagai lokasi yang telah ditetapkan.

Program yang akan berlangsung sepanjang sambutan 3 Dekad MBI adalah sebagaimana berikut:

(1)      Amanat Khas Menteri Besar Kepada Pegawai dan Kakitangan Urus Setia Kerajaan Negeri pada 17 Oktober 2020.

(2)      Majlis Perasmian Sambutan 3 Dekad dan Amanat Menteri Besar Kepada Penjawat Awam Kerajaan Negeri pada 25 Oktober 2020.

(3)      Hari Kebajikan Negeri Kelantan pada 18-19 Oktober 2020.

(4)      Seminar Pembangunan Mampan pada bulan November 2020.

(5)      Forum Undang-undang Syariah pada 31 Oktober 2020.

(6)      Seminar Keusahawanan pada 31 Oktober 2020.

(7)      Wacana Memartabat Legasi Tuan Guru Dato’ Bentara Setia pada 16 November 2020.

(8)      Himpunan Anak Muda Kelantan pada bulan November 2020.

(9)      Sambutan Hari Kelantanku Bersih pada 19 November 2020.

(10)   Pameran Sejarah 30 Tahun MBI bermula 1 November 2020 – 31 Disember 2020 di Muzium Negeri.

(11)   Perasmian Loji Rawatan Air Tualang 2 pada bulan Disember 2020 di Kuala Krai.

Sambutan pada kali ini agak terhad penyertaannya dan akan dipertontonkan secara live menerusi media rasmi Kerajaan Negeri. Pada tarikh bersejarah iaitu 21 Oktober 2020, satu Ceramah Khas Sempena Sambutan 3 Dekad akan diadakan dan turut menampilkan YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang juga Presiden PAS. Orang ramai dijemput untuk mendengar ceramah berkenaan yang akan disiarkan secara online (bermula jam 9:00 malam).

MOHD ASRI MAT DAUD
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
25 Safar 1442/13 Oktober 2020  – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -