PM letak sepenuhnya kepercayaan kepada YDPA

Foto FB Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menguruskan isu membabitkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau tidak meneliti perkembangan isu membabitkan Ahli Parlimen Port Dickson itu yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

- Advertisement -

Katanya, YDPA merupakan seorang yang bijaksana dan amat memahami peranan baginda sendiri sebagai YDPA seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu kata Muhyiddin, beliau menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Al-Sultan Abdullah untuk membuat keputusan terbabit dan mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada agenda mensejahterakan rakyat terutamanya hal membabitkan Covid-19.

“Kalau saya nak jelaskan sikit soal tindakan (Anwar) itu, bahawa saya tidak mengikuti perkara itu. Saya serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku adalah seorang yang bijaksana dan faham dari sudut peranan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong. Peruntukan dalam perlembagaan adalah dalam kuasa penuh Yang di-Pertuan Agong.

“Maka kita perlu berikan kepercayaan kepada Baginda memutuskan apa yang sepatut diputuskan. Tetapi saya tidak mahu meneliti soal itu. Keutamaan saya adalah menguruskan negara. Saya masih di sini sebagai Perdana Menteri, tugas dan amanah saya mesti dilaksanakan. Keutamaan saya sekarang menguruskan masalah Covid-19 dan ekonomi negara,” jelas beliau dalam sidang media melalui laman Facebooknya, hari ini.

Pada 22 September, Anwar dalam satu sidang media mendakwa bahawa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu dan bersedia untuk menghadap YDPA.

Setelah beberapa jam menghadap YDPA di Istana Negara pagi tadi, beliau dalam sidang medianya memaklumkan bahawa pihaknya telah mempersembahkan dokumen tentang majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk mengambil alih kerajaan.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin petang tadi menjelaskan Anwar hanya mengemukakan jumlah sokongan tanpa senarai nama bagi menyokong dakwaannya itu.

Justeru, YDPA menasihatkan Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -