Persembah jumlah sokongan didakwanya tanpa senarai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menasihati Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Nasihat itu dititahkan baginda setelah Anwar mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau, namun tidak mengemukakan senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan Istana Negara seusai Anwar mengadap Al-Sultan di Istana Negara, di sini sebentar tadi.

Maklum beliau, sesi menghadap ini sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 22 September lalu tetapi ditangguhkan ekoran daripada kegeringan Al-Sultan di mana telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara bermula pada 21 September hingga 3 Oktober.

Kenyatan itu juga menyentuh perkembangan semasa penularan wabak COVID-19 di Malaysia, khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa esok, 14 Oktober.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

“Al-Sultan Abdullah dalam pada itu menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan COVID- 19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.

“Adalah dimaklumkan juga, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan COVID-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” ujar kenyataan itu

Sesi mengadap itu dimaklumkan berlangsung selama lebih kurang 25 minit. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -