Anwar tinggalkan Istana Negara selepas sejam mengadap

Foto NOR HAZWANI NOH
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim meninggalkan perkarangan Pintu 2 Istana Negara pada jam 11.30 pagi tadi.

Anwar sempat melambaikan tangannya kepada media melalui tingkap kereta jenis Jaguar berwarna hitam yang dinaikinya diiringi dengan kereta Volkswagen berwarna hitam.

- Advertisement -

Terdahulu, Anwar masuk ke Istana Negara pada jam 10.25 pagi tadi, beliau keluar selepas hampir sejam berada di dalam istana bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selepas Anwar beredar, sekumpulan kecil penyokong dipercayai Reformasi 98 sempat bersorak melaungkan ‘reformasi’ dan ‘Anwar PM ke-9’ sebelum polis meminta kumpulan itu supaya beredar.

Media turut diminta polis supaya segera beredar.

Menurut sumber dalaman, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dijangka turun mengadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini.

Media dimaklumkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bahawa Anwar akan mengadakan satu sidang media khas berkenaan pengumuman penting pertemuan pasca sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Sidang media dijadualkan diadakan hari ini jam 2 petang di Clarke 1, Level 6, Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, di sini.

Suasana politik tanah air kembali panas selepas Anwar mengumumkan dia mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen yang boleh menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anwar memaklumkan sudah mendapat perkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan sepertimana disebutkannya sebelum ini. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -