Anwar belum beri bukti kukuh sokongan dimiliki

Ahli politik patut bersikap negarawan dengan bersama hadapi pandemik COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu dengan mendakwa memiliki sokongan kukuh dan meyakinkan dari Ahli-ahli Parlimen tidak pernah dibuktikan sehingga ke hari ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, langkah Anwar pengumuman ‘memiliki nombor’ menyamai tindakan dan pengakuan seumpama pernah dibuat Ketua Pembangkang itu sebelum-sebelum ini.

Terang beliau, ianya bukan kali pertama ahli politik tersebut berbuat demikian di mana sebelum ini popular dengan sejarah projek 16 September di mana dakwaan itu berlaku ketika PKR masih bersama PAS dahulunya.

“(Bila) kita minta angkanya, sampai sudah tak diberikan angka itu. Dan projek itu gagal,” ujar Kamaruzaman membayangkan kemungkinan sama akan terjadi sekali lagi hari ini.

Minggu lalu, menerusi satu kenyataan media dikeluarkan, Anwar telah mendakwa menerima perkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, 13 Oktober.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan sepertimana telah dinyatakan olehnya sebelum ini.

Malah, disebalik senarai Ahli-ahli Parlimen yang tular dan didakwa menyokong Anwar itu, beberapa orang darinya telahpun tampil membuat penafian di media, selain membuat laporan polis di atas perkara tersebut.

Bahkan pihak polis dalam satu kenyataan memaklumkan pihak Anwar minta untuk diambil keterangan mengenai isu ini pada jam 9 pagi hari ini, selain Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain juga turut memberi pandangan berkaitan.

“Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan laporan polis dibuat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membuat representasi palsu, mempermainkan institusi diraja dan salah guna proses demokrasi berperlembagaan jika gagal membuktikan memiliki majoriti,” ujarnya.

Beliau yang juga Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang sebagaimana dilapor Berita Harian menjelaskan bahawa Agong mempunyai hak prerogatif menunda perkenan mengadap itu.

Kamaruzaman dalam lanjutan ulasannya mengimbas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah teraju Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu adalah berpunca daripada perebutan kuasa.

Katanya, walaupun Tun menjanjikan peralihan kuasa itu, namun desakan demi desakan terus ditekankan sebelum tempohnya yang menjadi pertembungan dalaman hingga mengheret kepada konflik.

“Adakah perebutan Perdana Menteri ini menggambarkan bahawa mereka memperjuangkan rakyat atau memperjuangkan peribadi? Kalau mereka memperjuangkan rakyat, sepatutnya isu ini diselesaikan secara dalaman, secara tertutup, berlaku transisi secara lancar, tanpa menimbulkan konflik.

“Tapi apabila pertembungan ini berlaku terbuka di media, masing-masing bertembung secara terbuka, bukan setakat individu, bahkan parti bertembung secara terbuka yang menyebabkan berlaku pergeseran besar yang seterusnya menjadi punca kepada kejatuhan Kerajaan PH,” ujarnya.

Demikian itu jelasnya, apabila diulang kembali hal sama ketika negara sedang menghadapi gelombang ketiga COVID-19 ketika ini, maka itulah gambaran sebenar tujuan politik Anwar iaitu semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri.

Walhal kata beliau, dalam situasi ini semua ahli-ahli politik selaku pemimpin rakyat termasuk Anwar sepatutnya bersikap negarawan untuk membantu negara menghadapi pandemik yang mengancam nyawa itu.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk kembali merenungi tindakan-tindakan dibuat penerintahan 22 bulan Kerajaan PH yang mengganggu gugat kestabilan negara dan keharmonian hidup rakyat.

Tegasnya, semua perkara tersebut tidak harus lagi berulang kembali dengan mempertaruhkan politik negara mengikut pelan projek mahu dilaksanakan Anwar. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -