Ahli politik diseru lakukan gencatan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin parti politik tanah air terutamanya Pakatan Harapan dan Kerajaan Perikatan Nasional digesa melaksanakan ‘gencatan politik’ buat sementara waktu.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Shahir Adnan berkata, ketika peningkatan kes harian mencatatkan sekitar 500 kes sehari, terdapat juga ahli politik yang mementingkan diri mahu menukar kerajaan di saat keadaan yang getir ini.

- Advertisement -

Shahir menggelar krisis politik yang berlaku ini sebagai ‘Gelombang Haus Kuasa’ ekoran ia berlaku saat rakyat amat terkesan dengan Covid-19 lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyumbang kepada peningkatan kes hari demi hari.

Pihaknya juga mendesak Kerajaan Perikatan Nasional memberi fokus kepada penyelesaian isu rakyat berkaitan Covid-19.

Antaranya, memperkasakan tenaga kerja barisan hadapan, terutama di Sabah kerana mereka sudah keletihan dan memerlukan sukarelawan dari sektor swasta.

Dalam pada itu, katanya peruntukan elaun harus diberikan tanpa kerenah birokrasi kepada semua pekerja barisan hadapan dan sukarelawan.

“Sudah terbukti bahawa seluruh barisan hadapan dan rakyat di negara ini telah berjaya melandaikan penularan Covid-19 pada peringkat awal sehingga diiktiraf antara negara terbaik di dunia dalam mengekang wabak ini.

“Jangan sia-siakan jasa dan pengorbanan rakyat yang telah memberikan jiwa dan raga mereka untuk negara,” kata Shahir.

Seterusnya, Shahir memohon kerajaan melanjutkan tempoh moratorium sehingga Disember 2020.

“Gelombang ketiga ini menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, menyebabkan beberapa sektor industri makin tenat.

“Ribuan pekerja diberhentikan pekerjaan, terutama sektor penerbangan dan industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata Shahir lagi, pampasan secara one-off perlu diberikan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi yang telah berulang-alik untuk pendaftaran pengajian mereka.

Tambahnya, bantuan bersasar turut diperlukan kepada golongan rakyat B40 di negeri-negeri yang dikenakan PKPB seperti Sabah dan Selangor. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -