UniMAP sedia bas jemput pelajar di kampung

- Advertisement -

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bas untuk menjemput lebih 400 pelajar pulang ke kampus dari kampung halaman masing-masing.

Inisiatif tersebut diambil selepas UniMAP menerima pelbagai maklum balas daripada pelajar yang berdepan kesukaran mengikuti pengajian yang dikendalikan secara dalam talian.

Naib Canselor, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, bagi menjayakan misi tersebut, sebanyak 14 bas disediakan membabitkan destinasi berstatus hijau antaranya Perak, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan.

- Advertisement -

“Misi kali ini membabitkan pelajar Diploma yang pulang ke kampung halaman masing-masing sewaktu cuti pertengahan semester iaitu sebelum situasi pandemik meruncing.

“Memandangkan kelas dan makmal akan diteruskan seperti biasa, sebahagian pelajar menyatakan kegusaran untuk meneruskan pengajian secara dalam talian di rumah,” katanya selepas sesi simbolik penerimaan pelajar baharu sidang akademik 2020/2021 secara atas talian semalam.

Pada sesi kemasukan itu UniMAP menerima seramai 2,251 pelajar membabitkan 36 program pengajian Ijazah Sarjana Muda yang mendaftar secara dalam talian.

Pelajar juga akan mengikuti program dan aktiviti termasuk Minggu Suai Kenal Digital dan pendaftaran kursus semester pertama secara online. – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -