KUALA TERENGGANU: PAS dan Ahli Parlimennya menafikan dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bahawa terdapat wakil PAS yang menyokongnya.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, Presiden PKR itu cuba menangguk di air keruh sedangkan PAS masih utuh dan baik.
Malah, katanya sebarang permasalahan dan isu yang berlaku akan dibincangkan secara kolektif.
Menurutnya, PAS melalui Setiausaha Agung parti juga telah menjelaskan kesemua 18 orang Ahli Parlimen PAS masih kekal bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya kenal semua Ahli-ahli Parlimen PAS, kawan-kawan saya belaka. Saya rasa dia (Anwar) bagaikan menangguk di air keruh, sedangkan kekeruhan itu tidak berlaku dalam PAS sekarang.
“Kita, dalam PAS ianya jernih, jelas dan oleh kerana itu jika ada apa-apa pun dalam PAS, kita akan bincang secara kolektif.
“Isu ini telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin bahawa 18 Ahli Parlimen PAS mendukung penuh Muafakat Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional, yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Itu adalah pendirian kita dalam PAS yang didukung oleh semua,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, 11 Oktober lalu.
Ketika ditanya, wajarkah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan mengejut dalam masa terdekat ini, kata Amzad bukanlah masa yang sesuai dibuat pilihan raya kerana masalah Covid-19.
Katanya, Anwar juga sering kali mencetuskan ketidakstabilan dalam negara demi cita-cita peribadi untuk menjadi Perdana Menteri.
“Sepatutnya, Anwar lebih tahu akibat daripada apa yang dilakukan oleh beliau sekarang, mewujudkan persepsi ketidakstabilan, sedangkan yang diperlukan oleh negara ketika adalah fokus di dalam menangani masalah berkait dengan Covid-19.
“Ini isu sebenar yang perlu diberikan perhatian. Covid-19, masalah kesihatan rakyat, masalah nyawa rakyat, itu keutamaan sebenar,” jelasnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu.
Sehubungan itu, kata beliau menyokong sebarang keputusan yang dibuat oleh Umno, PAS tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah kerana masalah Covid-19.