Nik Hasyudeen perlu letak jawatan CEO TH

- Advertisement -

BARU pendeposit Tabung Haji (TH) menghela nafas kerana merasa sedikit lega dengan pembayaran hibah 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019 berbanding hanya 1.25 peratus pada tahun sebelumnya. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita pelantikan seorang yang bukan-Islam menerajui Movenpick Hotel dan Convention Centre KLIA (MHCC), iaitu sebuah hotel milik penuh Tabung Haji Hotel dan Residence Sdn Bhd. Cadangan pelantikan Pengurus Besar bukan-Islam ini datang daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff. Tindakan ini menunjukkan bahawa Datuk Nik Mohd Hasyudeen langsung tidak peka dengan kegusaran pendeposit TH khususnya dan umat Islam di Malaysia amnya mengenai kedudukan institusi pelaburan terbesar umat Islam di Malaysia itu. 

Berita yang pada mulanya tersebar di media sosial akhirnya disahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Ahmad Marzuk Shaary yang menegaskan, dakwaan pelantikan pengurus besar sebuah hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan individu bukan-Islam tidak berlaku. YB Ahmad Marzuk Shaary berkata, cadangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff itu juga tidak pernah dibawa kepada sebarang perbincangan dengan pihak Pejabat Menteri atau Timbalan Menteri sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah. 

- Advertisement -

Ini menunjukkan bahawa Datuk Nik Mohd Hasyudeen telah membelakangkan Pejabat Menteri di JPM kerana jawatan Pengurus Besar Hotel bukan jawatan yang kecil di TH. Selepas lebih satu tahun menjadi CEO TH, adalah tidak mungkin Datuk Nik Mohd Hasyudeen tidak mengetahui tatacara pelantikan jawatan-jawatan utama di TH, atau dia sengaja membelakangkan Pejabat Menteri kerana dia dilantik oleh Perdana Menteri (PM) 7 dan merasakan tiada keperluan untuk membincangkannya dengan Menteri di JPM sekarang. 

Sikap Datuk Nik Mohd Hasyudeen ini menyerlahkan kebenaran tuduhan yang beliau adalah anggota IKRAM yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada PH yang sudah hilang kuasa. Tindakannya ini boleh mengundang kemarahan rakyat kepada Kerajaan PN. Dalam keadaan sekarang beliau sepatutnya lebih peka dengan kehendak pendeposit untuk melihat TH dan semua anak syarikatnya diterajui oleh orang Islam. Apakah alasan Datuk Nik Mohd Hasyudeen mencadangkan nama bukan-Islam untuk memegang jawatan Pengurus Besar Hotel TH itu? Apakah tiada individu Muslim yang berkelayakan untuk mengetuai Hotel TH berkenaan? 

Dalam dunia perniagaan sekarang, kepakaran dalam sesuatu bidang bukan tiket atau kriteria utama untuk diangkat menjadi peneraju tetapi kebolehan seseorang individu untuk melaksanakan amanah yang bakal dipikulnya sepatutnya menjadi syarat utama. Dalam perniagaan sememangnya keuntungan menjadi matlamat akhir seseorang ketua. Namun untuk institusi seperti TH, keuntungan sahaja bukan satu-satunya matlamat, tetapi menjaga harta orang Islam juga perlu diletakkan sebagai salah satu kayu ukur kejayaan sesebuah institusi pelaburan Islam. 

Kegagalan Datuk Nik Mohd Hasyudeen menjaga harta-harta TH hingga terlepas ke SPV dan juga pemilik bukan-Islam sepatutnya menjadi alasan kukuh untuk Kerajaan PN melucutkan beliau dari jawatannya sekarang. Cadangannya untuk melantik Pengurus Besar Hotel TH dalam kalangan bukan-Islam menjelaskan lagi kegagalan beliau memahami tanggungjawabnya memelihara TH. Jangan tunggu sehingga pendeposit hilang keyakinan kepada TH. Datuk Nik Mohd Hasyudeen perlu meletak jawatan atau dilucutkan jawatan.

FUAD SALLEH – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -