Komitmen PAS bawa Islam yang syumul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS membawa agenda Islam yang syumul merangkumi aspek kehidupan melibatkan politik khususnya dalam kehidupan peribadi, manusia, keluarga, masyarakat dan negara.

Demikian kata, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dalam wawancara eksklusif bersama TV Pertiwi pada 10 Oktober, bagi mengupas tajuk Agenda Islamisasi PAS selepas tujuh bulan menjadi kerajaan.

- Advertisement -

Beliau berkata, politik merupakan satu tempat untuk mencatur segala agenda yang menjamin keselamatan kehidupan manusia dan keadilan tanpa mengira bangsa.

Katanya, agenda merupakan satu perkara amat luas yang merangkumi semua aspek kehidupan yang tidak dapat diperincikan, namun ianya perlu dilihat secara keseluruhan.

Oleh kerana itu, dasar Islam yang jelas amat penting dan komitmen PAS baik di peringkat Perdana Menteri dan menteri kabinet menjadikan Islam sebagai tonggak dan Agama Persekutuan.

Mengulas lanjut katanya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibina dari hasil Muafakat Nasional (MN) yang terdiri dari PAS dan Umno yang diperkasakan dengan gabungan parti-parti berkenaan sehingga terbentuk sebuah kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya, sepanjang tujuh bulan Kerajaan Perikatan Nasional memerintah telah berjaya memberi satu harapan kepada rakyat sehingga melihat kerajaan PN merupakan sebuah kerajaan yang prihatin mampu membawa kebaikan buat rakyat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu optimis bahawa dengan wujudnya gabungan muafakat ini, jika berlakunya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Kerajaan Perikatan Nasional akan mendapat mandat yang begitu besar dari rakyat.

“Mengabungkan pembangkang sebagai sebuah kerajaan di satu pentas, pasti tidak lari dari berlaku perbezaaan pandangan.

“Namun, gabungan Muafakat ini juga adalah untuk mencari titik pertemuan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dan pertikaian untuk membawa kebaikan pada ummah Melayu, Islam dan negara,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan Melayu dan Islam telah dinohtahkan dalam perlembagaan yang mesti diberikaan keutamaan haknya dan semestinya ia merupakan tonggak utama negara.

Justeru itu katanya, selagi ia mengambil sikap kebersamaan dalam membawa agenda Islam dan Melayu ianya pasti mampu diterapkan dalam kerajaan. – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -