Kedah naib juara Liga Super

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah merakamkan setinggi tahniah kepada pasukan bola sepak Kedah atas kemenangan perlawanan akhir Liga Super di Stadium Ipoh malam tadi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, dalam kenyataannya berkata, walaupun berhadapan dengan masalah kewangan sejak Mac lalu, pemain dan jurulatih pasukan Kedah telah menunjukkan semangat juang dan profesional yang tinggi di atas padang.

Advertisement

“Tahniah di atas semangat jitu yang ditunjukkan oleh jurulatih dan para pemain yang begitu bersungguh-sungguh bermain merebut kemenangan,” ujar beliau mengulas kemenangan Kedah 3-2 menentang Perak malam tadi.

Menurutnya lagi, dengan mengumpul 22 mata, pasukan Kedah menamatkan Liga Super musim ini di tempat kedua selepas Johor Darul Takzim (JDT) yang mengekalkan kejuaraan musim ini dengan 29 mata.

Presiden Persatuan Bola Sepak (KFA) itu tidak menafikan kejayaan menyelesaikan tunggakan gaji pemain, jurulatih dan anggota pasukan hijau kuning menjadi pendorong kemenangan berturut-turut selepas KFA bertukar tangan.

“Selain berusaha melepasi beberapa kehendak FAM seperti pemisahan KFA dgn FC, pelesenan untuk musim akan datang dan pelesenan bermain dalam Liga Asia pada tahun hadapan.

“Selain itu kejayaan menduduki tempat kedua seterusnya layak ke AFC adalah hadiah terbesar pasukan bola sepak Kedah kepada rakyat negeri Jelapang Padi ini,” kata Muhammad Sanusi lagi.

Justeru itu, KFA akan mempertimbangkan bonus khas atas kejayaan ini dan akan dimaklumkan sedikit masa lagi.

Muhammad Sanusi yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu di stadium berkenaan mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada peminat dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan itu dan kejayaan ini juga adalah milik seluruh rakyat Kedah.

“Terima kasih dan tahniah kepada pemain, jurulatih dan seluruh anggota Pasukan Bola Sepak Kedah,” ucapnya. – HARAKAHDAILY 12/10/2020