COVID-19: Pembangkang diminta bentang pelan lengkap

- Advertisement -

SAYA membaca kritikan pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang menyalahkan kerajaan di atas kenaikan angka jangkitan wabak COVID-19 kebelakangan ini. Pelbagai tohmahan dilontarkan seolah-olah kerajaan di bawah pimpinan YAB Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Perdana Menteri ini bertanggungjawab sepenuhnya di atas penularan wabak tersebut yang menunjukkan angka peningkatan sejak akhir-akhir ini.

- Advertisement -

Seolah-olah kejayaan kerajaan meminimakan jangkitan sehingga ke angka 0 (penularan tempatan) tidak mempunyai apa-apa harga dan nilai pada pandangan mereka.

Barangkali pihak-pihak yang menyalahkan kerajaan terlupa bahawa mereka jugalah yang bertegas untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Sabah di dalam keadaan negara sedang berdepan krisis pandemik bahkan salah seorang bekas Menteri begitu yakin menyebut bahawa selepas Pilihan Raya Negeri Sabah berakhir, angka jangkitan COVID-19 akan turun mendadak. Ia berasaskan keyakinan kononnya angka jangkitan yang menaik ini dikatakan hanyalah sandiwara Kerajaan Pusat semata-mata.

Siapakah pula yang mencadangkan agar pesakit-pesakit yang sedang dikuarantin dibenarkan untuk mengundi jika bukan pemimpin pembangkang? Siapakah pula yang menyerang kenyataan Menteri Kesihatan yang sedang mempertimbangkan untuk meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung selepas urusan PRN selesai kalau bukan bekas Menteri dari Pakatan Harapan? Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan ini sebenarkan secara tidak langsung memberikan tekanan kepada kerajaan Pusat untuk tidak bertindak lebih tegas dalam menangani penularan wabak pandemik yang merbahaya ini.

Oleh yang demikian, saya kira sewajarnya pembangkang membentangkan satu pelan khusus dan lengkap secara rasmi berhubung kaedah-kaedah menangani penularan wabak ini. Jika hanya menuding jari kepada kerajaan selepas berlakunya peningkatan (yang tiada siapa tahu adakah akan meningkat lagi selepas ini), sesiapa sahaja boleh melakukannya.

Selain daripada pelan mengadap Istana pada 13 Oktober, pelan menangani COVID-19 inilah yang rakyat ingin tahu dan membuat penilaian. Jom kita berfikir untuk negara.

AHMAD FADHLI SHAARI
12 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -