Amal Qunut Nazilah hadapi kebimbangan wabak

- Advertisement -

SEREMBAN: Galakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan agar para Imam di masjid dan surau dalam Ibu Negara membaca Qunut Nazilah semasa solat Subuh wajar disokong dan diperluaskan pelaksanaannya.

- Advertisement -

Ketua Ulamak PAS Negeri Sembilan, Ustaz Md Nazri Md Yusof berkata, dalam keadaan COVID-19 kembali menular, membaca Qunut Nazilah adalah saranan menepati Syarak dan patut disokong serta diperluaskan di seluruh negara.

“Ketika mana kaum Ri’l, Zakwah, Usaiyah dan Bani Lahyan meminta Nabi pertolongan untuk menghadapi musuh, lalu Nabi S.A.W menghantar rombongan Sahabat al-Qurra’ (hafal al-Quran), tetapi kaum telah khianat lalu bunuh para Sahabat R.A,” ujar beliau memetik hadis riwayat Anas bin Malik R.A itu.

Jelasnya, dari tragedi tersebut, Rasulullah telah berdoa Qunut Nazilah selama sebulan sebagaimana juga dinyatakan hadis Bukhari menunjukkan amalan membacanya perbuatan yang tsabit di sisi Syariat.

Terutama terang Ustaz Md Nazri, dibaca apabila berlaku bencana atau musibah yang melanda kaum Muslimin sebagai contoh berupa ketakutan, termasuk wabak yang dihadapi seluruh dunia ketika ini iaitu COVID-19.

“Pelaksanaannya bukan sahaja dibaca waktu Subuh, tetapi (boleh) setiap rakaat akhir sebelum sujud dan selepas i’tidal solat fardu sama ada secara bersendirian atau berjemaah.

“Apabila dilaksanakan, pasti Qunut Nazilah yang bersesuaian dengan masa dan dimaklumkan makmum,” ujarnya menuntut ketertiban itu.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail menyarankan semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan membaca Qunut Nazilah ketika solat fardu Jumaat.

Katanya, bacaan Qunut Nazilah itu bertujuan memohon kepada Allah S.W.T agar penduduk Wilayah Persekutuan dan Malaysia dihindari daripada wabak COVID-19.

“Para imam juga digalakkan berqunut nazilah ketika solat subuh setiap hari di masjid dan surau masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan Bernama. – *HARAKAHDAILY 12/10/2020*

- Advertisement -