Urusan TH wajar dikemudi penjawat beragama Islam

- Advertisement -

SAYA mengambil maklum keresahan umat Islam berkenaan tularnya berita cadangan pelantikan seorang profesional bukan-Islam sebagai Pengurus Besar sebuah hotel milik Tabung Haji (TH).

Hasil semakan pihak kami, memo tular yang ditandatangani oleh Datuk Nik Hasyudeen Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji itu adalah cadangan lantikan daripada pihak pengurusan tertinggi Tabung Haji yang telah dibawa kepada Mesyuarat Lembaga Pengarah bagi mendapatkan kelulusan. Untuk makluman, cadangan yang diangkat oleh CEO TH itu tidak pernah mendapat penglibatan atau dibawa ke sebarang perbincangan dengan pihak kami Pejabat Menteri atau Timbalan Menteri sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, alhamdulillah cadangan tersebut telahpun ditolak oleh pihak Lembaga Pengarah Tabung Haji semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 1 Oktober 2020. Dengan penolakan ini maka tidak berbangkit lagi soal lantikannya; dan saya ingin menjelaskan secara tuntas dan muktamad bahawa tidak berlaku lantikan Pengurus Besar bukan-Islam tersebut; sebagaimana dakwaan atau kegusaran sesetengah pihak. 

Saya ingin memaklumkan juga bahawa pihak Pengurusan Tabung Haji telah diarahkan untuk mengemukakan semula cadangan calon pengurus besar hotel yang baharu yang beragama Islam supaya lebih sesuai dan menepati visi dan roh institusi pelaburan kebanggaan umat Islam ini.

Saya menghargai segala komen dan pandangan masyarakat serta sentimen mereka yang gelisah dengan isu sebegini. Justeru setiap agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – termasuk dan khususnya pengurusan Tabung Haji – sentiasa diingatkan agar lebih peka dengan segala tindakan yang boleh mengundang kerisauan dan keresahan rakyat.

Saya memberi jaminan bahawa keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini bukan sahaja bagi memulihkan prestasi kewangan Tabung Haji tetapi juga memastikan segala urus tadbir yang melibatkan institusi ini terjamin dari sudut kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 11/10/2020

- Advertisement -