Selamat Hari Sukan Negara 2020

- Advertisement -

SAMBUTAN Hari Sukan Negara (HSN 2020) yang sepatutnya diraikan pada 10 Oktober 2020 telah ditangguhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican.

DACS Malaysia menyambut baik penangguhan tersebut berikutan untuk mengekang penularan COVID-19 yang semakin meningkat.

Aktiviti sukan ini, selain menjadi inisiatif untuk menyihatkan tubuh badan, ianya juga menjadi antara titik perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Dengan bersukan juga dapat melahirkan rakyat yang cergas dan cerdas untuk memandu negara ke arah yang lebih maju.

- Advertisement -

Teladan Baginda Rasulullah (S.A.W) dalam bidang sukan dan riadah harus dijadikan contoh. Baginda Rasulullah (S.A.W) pernah dicabar bergusti dengan seorang lelaki Yahudi dan akhirnya Baginda Rasulullah (S.A.W) menang serta lelaki Yahudi itu menganut agama Islam kemudiannya. Malah Baginda Rasulullah (S.A.W) menggalakkan umat Islam untuk belajar memanah, berenang dan menunggang kuda. Natijahnya, sukan bukan sahaja menjadikan tubuh badan yang sihat, ia melatih kita untuk mempunyai kemahiran mental yang tinggi dan fokus dalam pekerjaan yang dilakukan selain menjauhi perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti melepak dan minum arak. Baginda Rasulullah (S.A.W) pernah bersabda mafhumnya:

 “Mukmin yang kuat lebih disukai Allah dari Mukmin yang lemah.”

Sekiranya pandemik COVID-19 ini semakin surut dan berakhir, banyak aktiviti menarik yang akan dianjurkan oleh DACS Malaysia melalui DACS negeri-negeri seluruh negara sempena seperti perlawanan bola sepak, aerobik Islamik, perlawanan futsal, hiking gunung, fun ride basikal, badminton dan lain-lain lagi. DACS Malaysia berharap rakyat dari segenap lapisan akan dapat menyertai pelbagai program yang diadakan dan menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi. Hal ini kerana perpaduan dalam kalangan rakyat mutakhir ini dilihat semakin rapuh lantaran tindakan, singgungan dan kecaman berunsur politik yang dimuntahkan oleh barisan ahli politik yang tidak matang dan rasional. 

DACS Malaysia juga sebelum ini telah mengadakan banyak program yang mengajak rakyat khususnya belia mendekati aktiviti sukan dan kegiatan luar. Kewujudan Alternative Riding Club (ARC), Alternative Cycling Club (ACC), perlumbaan motorsikal di Litar Lumba Rakyat, Alternative Photography Club (APC), DACS Motorsport Club (DMC), Alternative Fishing Club (AFC), Alternative Horse Riding and Archery Club (AHRAC), DACS Football Club (DACS FC), DACS Fit , Alternative Trekking Club (ATC), Alternative 4X4 Club (A4C), Alterrnative Martial Art Club (ALMAC), Alternative Swimming Club (ASC), Alternative Band Club (ABC), DACS Buskers dan pelbagai lagi aktiviti luar anjuran DACS Malaysia harus dimanfaatkan oleh seluruh rakyat.

Semoga Malaysia semakin maju dalam bidang kesukanan demi melahirkan rakyat yang berkualiti.

HAFEZ SABRI
Pengarah, 
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Malaysia,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) – HARAKAHDAILY 11/10/2020

- Advertisement -