Kesatuan 3 parti gerunkan Anwar dan PH

- Advertisement -

KUALA NERUS: Muafakat Nasional (MN) bukan hanya antara PAS dan Umno tapi juga telah disertai oleh Bersatu.

Muafakat Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula dipayungi oleh Perikatan Nasional (PN) sebagai kerjasama politik nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

Kesatuan antara 3 parti ini dalam MN melibatkan semenanjung sangat digeruni oleh Pakatan Harapan (PH).

Ketegasan itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini.

Tambahnya, percubaan pecah dan perintah sedang dibuat oleh PH khususnya Anwar antaranya menerusi percubaan mengadap Yang DiPertua Agong membawa senarai nama MP Umno yang kononnya menyokong beliau.

Khairuddin berkata, sepertimana penjelasan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamid dan juga Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agong BN, Ahli Parlimen Umno bertindak secara en bloc dalam memberikan dukungan kepada kerajaan PN bersama-sama Ahli Parlimen PAS.

“PAS, Umno dan Bersatu bekerjasama untuk memperkasakan kerajaan yang mempertahankan kepentingan Melayu-Islam dan memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Ini suatu yang gagal diberi jaminan oleh PH khususnya DAP yang tersangat tidak mesra Islam dan Melayu. Apa yang penting ialah kerajaan bersama Umno, PAS dan Bersatu dan parti-parti lain terus mengukuh bagi melaksanakan amanah rakyat sebagai kerajaan prihatin.

“Ahli-ahli PAS dan Umno jangan terperangkap dengan mainan cybertrooper untuk menimbulkan kesangsian terhadap sokongan bulat kepada kerajaan PN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2020

- Advertisement -