Kanak-kanak perlu pembedahan kepala segera

LUMUT: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Lumut telah mengadakan ziarah dan serahan sumbangan kepada keluarga seorang kanak-kanak di Kampung Teluk, di sini kelmarin.

Advertisement

Qaira Zaini, 2 tahun dikesan mengalami pendarahan kepala selepas terjatuh dari atas meja makan di rumahnya di mana doktor memaklumkan pembedahan segera perlu dilakukan.

Menurut ibunya, Halida Ismail seorang peniaga kuih, pembedahan tersebut adalah bagi mengeluarkan darah beku dalam kepala Qaira, sedangkan keluarganya tidak mempunyai kemampuan.

Ia berikutan pendapatan suaminya yang hanya bekerja sebagai nelayan cuma memperolehi sekitar RM1,000 sebulan dan ketika sama masih menanggung anak-anak lain bersekolah.

Sumbangan terkumpul segera dari ahli-ahli PAS Lumut ini setelah mendapat makluman mengenai perkara ini daripada Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK), Nasaruddin Mohamed Din.

Sehubungan itu Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad bersama rombongan termasuk Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin telah hadir menyerahkan sumbangan itu kepada keluarga tersebut.

Dermawan yang bersimpati diseru turut sama membantu dengan sumbangan ke akaun Maybank 1641 9197 2979 atas nama Halida Ismail. – HARAKAHDAILY 11/10/2020