Dorongan bunuh diri dan jenayah dalam keluarga

KUALA LUMPUR: Kejadian bunuh diri terutama melibatkan golongan remaja dan belia serta masalah jenayah dalam keluarga semakin menunjukkan peningkatan yang membimbangkan pada masa kini.

Advertisement

Exco Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA), Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir menyenaraikan sekurang-kurangnya lapan faktor risiko yang mendorong kepada kematian akibat bunuh diri.

Antaranya kemuka beliau adalah mereka itu mempunyai sejarah cubaan bunuh diri, mengalami kemurungan, penyakit mental, penyalahgunaan alkohol, dadah dan seumpamanya, sejarah keluarga pernah membunuh diri.

Bahkan juga katanya, termasuk kalangan yang memiliki sejarah penyakit kronik serta kerap kesunyian, keseorangan atau merasa diri tidak berguna dan tidak dipedulikan, dengan terkini dalam negara terus merekodkan pertambahan.

Menurutnya, berlaku peningkatan 7 hingga 10 peratus kalangan remaja yang mempunyai pemikiran untuk membunuh diri berbanding tahun lepas, yakni mereka memikirkan jalan mudah bagi ‘menyelesaikan’ masalah kehidupan.

Bentang beliau yang juga pengamal seni mempertahankan diri, kajian menunjukkan remaja berdepan masalah iaitu 20 peratus mengalami gejala kemurungan, 40 peratus keresahan dan 10 peratus dalam keadaan tekanan.

Jenayah dalam keluarga

Masalah ini terang beliau, turut mencatatkan peningkatan di mana pelaku terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau mempunyai masalah mental yang dalam proses rawatan tetapi bertindak melakukan kekerasan atau keganasan.

Malah mengutarakan kebimbangan serius mengenai kes yang direkodkan, kalangan pelaku juga katanya, hinggakan bertindak membunuh semasa kejadian, walhal mereka adalah normal pada sesuatu keadaan.

“Bila tercetusnya apa yang mereka tidak puas hati, maka berlakunya sesuatu insiden yang tidak dijangka seperti mencederakan hingga boleh membunuh.

“Membimbangkan apabila ianya memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain seperti penderaan emosi dan trauma kehidupan,” ujarnya mengajak masyarakat memahami bahawa gejala sedang berlaku ini begitu serius di negara ini.

Berikutan itu seru Saiful, semua pihak mesti berganding bahu menangani isu ini antaranya mewujudkan usaha mengesan dan pencegahan awal kecenderungan bunuh diri dalam kalangan remaja di sekolah lagi.

Selain itu cadangnya, perlu ada sistem sokongan untuk membincangkan masalah serta meminta bantuan diperlukan mereka yang menangani masalah ingin bunuh diri harus diperkasakan.

Antaranya perinci beliau, perlu ada pihak yang sedia mendengar segala masalah dan sedia memberi bantuan, tidak mudah menghukum atau menghakimi serta adanya tempat untuk mendapatkan bantuan.

Juga usulnya, kaunselor di sekolah perlu berada di barisan hadapan untuk mencegah kes bunuh diri dalam kalangan pelajar, kerana kebanyakan mereka hanya memberi kaunseling berkaitan masa depan berbanding kesihatan mental.

Tips menangani isu

Untuk menangani atau mengatasi isu ini katanya, beberapa perkara boleh diambil seperti menekankan pendidikan nilai-nilai murni dan juga program atau pendidikan kesihatan mental dimulakan seawal sekolah rendah.

Juga peringatnya, kepentingan mengurangkan tekanan kepada kanak-kanak di dalam kaedah pembelajaran, selain menambahkan program kesedaran kesihatan mental kanak-kanak dan remaja kepada ibu bapa. – HARAKAHDAILY 11/10/2020