COVID-19: Umat Islam digalak amal Qunut Nazilah

- Advertisement -

KUANTAN: Membaca Qunut Nazilah ketika dunia berdepan pandemik COVID-19 ketika ini sememangnya wajar digalakkan kepada umat Islam ketika solat Subuh sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

- Advertisement -

Malah, ianya boleh juga dilaksanakan dalam solat Jumaat di mana membacanya menjadi satu usaha munajat hamba kepada Allah S.W.T, demikian jelas Ketua Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud.

Terang beliau yang juga ADUN Damak, Qunut Nazilah menjadikan sunnah Rasulullah S.A.W khususnya bila berlaku peperangan, wabak atau bencana antaranya sirah mencatatkan Baginda membaca dalam solat selama sebulan.

Memetik dari riwayat Imam Bukhari dan Muslim kupasnya, amalan itu berikutan pembunuhan syahid ke atas 60 Sahabat R.A dalam kalangan penghafaz al-Quran, selain bacaan itu juga ditekankan dalam mazhab Syafie.

“COVID-19 ini bencana yang melanda seluruh dunia. Bahkan menyebabkan berlaku kesukaran untuk kita melakukan ibadah kepada Allah. Justeru kita menggalakkan umat Islam membacanya ketika solat jemaah atau individu.

“Boleh baca ketika solat Subuh, atau solat lain contohnya solat Jumaat. Boleh sekiranya untuk laksanakan setiap hari kerana wabak COVID-19 masih belum pulih, bahkan ketikanya makin bertambah dan semakin berat dan besar.

“Qunut Nazilah ini juga merupakan doa. Oleh itu selepas kita berusaha mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dan mencari penawar, maka kita mestilah kembali kepada Allah kerana _“Doa itu senjata Mukmin”_ dan dari Allah sendiri,” ujarnya.

Beliau melengkapkan penjelasannya dengan petikan ayat 186 surah Al-Baqarah mengenai penegasan Allah S.W.T bahawa Dia amat hampir kepada hamba-Nya dan memperkenankan doa mereka yang memohon.

Kelmarin dahulu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mengeluarkan saranan supaya surau dan masjid membaca Qunut Nazilah dalam solat Subuh berjemaah dalam usaha mendepani gelombang ketiga COVID-19.

Malah, beberapa negeri termasuk dari pihak Pemangku Sultan Pahang juga ada mengeluarkan saranan seumpama pada Mac lalu, namun tidak berlanjutan dilaksanakan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – HARAKAHDAILY 11/10/2020

- Advertisement -