Cikgu Salim terima BKT daripada TYT Melaka

- Advertisement -

AYER KEROH : Pimpinan istiqamah PAS Melaka, Salim Tahir, 79 dikurniakan anugerah Bintang Khidmat Terpuji (BKT) sempena sambutan hari kelahiran ke-71, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri di sini pagi tadi.

Cikgu Salim yang ditemui seusai majlis kelihatan begitu teruja dengan penghargaan yang diterimanya atas penglibatan beliau di dalam kegiatan politik dan kemasyarakatan selama ini.

- Advertisement -

“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur, saya pun dah begitu lama (dalam kegiatan politik dan kemasyarakatan), umur pun dah lanjut, saya pun tak sangka dapat anugerah ini.” katanya.

Cikgu Salim dilahirkan pada tahun 1941 dan berumah tangga pada tahun 1964, dikurniakan lima orang anak yang kini semuanya sudah berumah tangga dan telah berjaya di dalam bidang masing-masing, serta dikurniakan 16 orang cucu.

Anak kelahiran Kampung Paya Dalam, Ayer Molek itu memulakan kerjaya sebagai guru pelatih pada tahun 1958 dan kemudiannya meneruskan pengajian dengan biaya sendiri sehingga mendapat ijazah pertama dalam bidang sejarah dari Universiti Malaya pada tahun 1976.

Antara sekolah yang pernah menggunakan khidmat Cikgu Salim, Sekolah Menengah Batu Kikir Negeri Sembilan, Sekolah Ayer Molek, Sekolah Menengah Dol Said Alor Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad Batu Berendam Melaka.

Tambah Cikgu Salim, jawatan terakhirnya di dalam perkhidmatan kerajaan ialah sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Hang Kasturi, Masjid Tanah sebelum bersara wajib pada tahun 1996.

Cikgu Salim mula aktif dengan aktiviti parti beberapa tahun sebelum dia bersara dengan memegang beberapa jawatan, antaranya ialah sebagai Bendahari PAS Kawasan Batu Berendam pada ketika itu.

Cikgu Salim kini merupakan Pengarah Jabatan Pilihan raya Dun (JPrD) PAS Ayer Molek pernah tewas semasa menjadi calon bertanding di DUN Berendam pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.

Ketika ditanya harapannya kepada politik semasa, ujarnya amat penting untuk PAS terus mengukuhkan ikatan persefahaman bersama-sama dengan rakan-rakan dari BN dan PN.

“Saya harap kita akan dapat sama-sama mendukung perjuangan menjaga kedaulatan negara terutama berkaitan bangsa Melayu dan agama Islam, bersama pimpinan yang mesra dengan agama kita.

“Saya juga sangat berharap PAS akan dapat tempat di dalam Dewan Undangan Negeri bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, supaya kerajaan Negeri Melaka ini dapat kita kuasai bersama.

“Supaya negara kita ini selamat daripada golongan yang tidak menyenangkan (orang Islam dan Melayu) daripada memerintah negeri ini.” ujar Cikgu Salim.

Pingat Bintang Khidmat Terpuji (BKT) yang diterima Cikgu Salim Tahir adalah darjah kebesaran yang dikurniakan kepada orang perseorangan yang mempunyai sikap taat setia dan tata kelakuan terpuji dan pingat ini juga tidak membawa sebarang gelaran. – HARAKAHDAILY 10/10/2020

- Advertisement -