Anwar tak kan jadi PM – Prof Shamsul Amri

- Advertisement -

PROFESOR Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dari KITA, UKM, adalah salah seorang ahli akademik tempatan yang sangat saya hormati kerana tahap keilmuan dan keberanian beliau yang tinggi.

- Advertisement -

Pada 19 Januari 2020 lalu, tatkala orang lain masih belum bercakap apa-apa mengenainya, beliau telah secara terbuka menyebut kepada sahabat saya, Philip Golingai, dalam akhbar The Sunday Star mengenai kemungkinan terjadinya dua perkara ini dalam tahun ini:
(1) Terbentuknya kerajaan baru yang dianggotai oleh BERSATU, Umno, PAS, puak Datuk Seri Azmin Ali dari PKR, parti-parti dari Sabah dan Sarawak serta parti-parti lain.
(2) Parti-parti yang tidak dijemput menyertai kerajaan baru seperti puak Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan DAP pula akan membentuk barisan pembangkang yang baru.

Pada akhirnya, tidak sampai dua bulan kemudiannya, kedua-dua unjuran beliau ini telah benar-benar berlaku.Hari ini pula, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menyebut dalam portal baru bernama MalaysiaNow mengenai tiga perkara ini, iaitu:
(1) Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tidak akan jadi Perdana Menteri.
(2) DAP tidak akan menyertai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
(3) PAN akan tetap mengikut DAP kerana DAP ada duit.

Sama-samalah kita tunggu apakah ketiga-tiga unjuran beliau ini akan benar-benar berlaku.

Berita MalaysiaNow tersebut:

DAP hilang sokongan Cina jika sokong Kerajaan Melayu-Islam Anwar, kata penganalisis

Penganalisis Politik Shamsul Amri Baharuddin berkata, DAP sudah semestinya boleh mengagak “impak negatif” yang bakal diterima jika berkomplot dengan Anwar.

Katanya, ini kerana Anwar dikatakan disokong bekas penyokong kuatnya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan juga beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berdepan dengan pertuduhan rasuah di mahkamah.

“DAP kukuh dengan undi orang Cina. Mereka tidak akan menyertai Anwar, tidak mahu mengambil risiko kehilangan sokongan orang Cina,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu kepada MalaysiaNow.

“Mereka memerlukan sokongan Cina yang kuat untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini ada di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.”

MalaysiaNow melaporkan sebelum ini pemimpin DAP “menyatakan dengan jelas” kepada Anwar 42 ahli Parlimen parti itu tidak akan menyertai mana-mana gabungan bersama ahli Parlimen Umno “terutama mereka yang terpalit dengan kes rasuah”.

Zahid kini berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, merupakan yang tertinggi dalam kalangan bekas pemimpin kerajaan BN sejak tumbang pada tahun 2018.

Shamsul menambah, jika Anwar membawa orang-orang Umno terpalit rasuah dalam senarai “sokongan kukuh dan meyakinkannya”, akan berlaku perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Bila perpecahan ini berlaku sebelum Anwar jumpa Agong, atau selepas jumpa Agong kalau ada undi tak percaya di Parlimen (kesannya Anwar gagal); dan jika Anwar dan pasukannya menang, Parlimen akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan PRU15 dan saya lihat Anwar tetap tidak akan jadi Perdana Menteri ke-9,” katanya.

Shamsul menambah, Amanah (PAN) yang masih belum menyatakan pendirian tentang bekerjasama dengan pemimpin Umno terkait rasuah hanya akan mengikut sesiapa sahaja yang menggunakan kuasa “duit”.

“DAP ada duit untuk terus membuatkan Amanah (PAN) memberikan sokongan penuh kepada mereka.”

Sumber: https://www.malaysianow.com/berita/2020/10/10/dap-hilang-sokongan-cina-jika-sokong-kerajaan-melayu-islam-anwar-kata-penganalisis/

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 10/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.