Surat terbuka kepada YB Jannie Lasimbang

- Advertisement -

SALAM hormat YB,

Merujuk kepada kenyataan YB yang menyebut, Appointing PAS into the Sabah State Assembly is very concerning.

Untuk pengetahuan YB, PAS sudah ada ramai ahli dalam kalangan penganut agama Hindu, Buddha dan Kristian, semuanya dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

Ada yang dilantik jadi calon pilihanraya, Ahli Majlis, Pegawai Khas dan YB Senator. Banyak yang kami pelajari daripada mereka, dan banyak yang mereka pelajari daripada kami. Inilah keunikan demokrasi.

Selain itu untuk pengetahuan YB dan rakan-rakan dalam DAP, PAS ada tadika, setiap hari ada anak jiran berbangsa India dan Cina datang belajar di PASTI kami.

PAS ada AMAL, banyak rumah orang miskin dan warga emas berbangsa India dan Cina, kami bantu sekadar mampu.

PAS sudah mentadbir Kerajaan Negeri. Ramai orang India, Cina dan Siam hidup dan berniaga di Kelantan, Terengganu dan Kedah, aman damai dan bersatu padu.

Untuk pengetahuan YB, PAS sentiasa terbuka untuk ruang dialog. Presiden kami telah berdialog dengan Archbishop Katolik, Hindu Sangam dan NGO pelbagai agama dan etnik.

Inilah ajaran Nabi kami. Patuh kepada Tuhan, berkebajikan, berkeadilan dan bermasyarakat madani.

Persoalannya, adakah PAS rasis dan ekstremis? Mungkin ada baiknya kita berdialog secara harmonis.

Salam perpaduan.

SYAHIR SULAIMAN
Setiausaha Politik Presiden PAS – HARAKAHDAILY 9/10/2020

- Advertisement -