Selebriti, ahli perniagaan sindiket ‘cuci duit’ dikenalpasti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memiliki senarai nama beberapa selebriti tanah air dan ahli perniagaan, yang disyaki terlibat dalam sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, kesemua mereka diminta hadir secara sukarela ke SPRM bagi memberi keterangan dan membantu siasatan, kes berkenaan.

Beliau berkata, SPRM tidak mahu membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana individu yang dipanggil untuk hadir.

- Advertisement -

“Siapa makan cili mesti terasa pedasnya, mereka (selebriti dan ahli perniagaan) mungkin pernah menerima dana sindiket.

“Oleh yang demikian, sila datang kepada SPRM (secara sukarela) kerana jika kami sendiri yang memanggil mereka, ia sudah tidak berapa cantik.” katanya dalam wawancara SPRM bertajuk ‘Pemerkasaan SPRM dan Usaha Pencegahan Rasuah’ di radio MACC.fm di sini.
 
Selain itu Azam berkata, jenayah pengubahan wang haram ini banyak melibatkan kesalahan seperti menipu, rasuah atau merompak bank, dan wang itu perlu dicucikan.

“Mereka yang menerima wang itu tidak boleh tidak tahu atau berkata mereka tidak tahu, kerana apabila kami siasat, kami akan siasat sampai ke mana wang itu berada atau diserahkan, sebelum mereka menubuhkan perniagaan untuk mencuci wang,” katanya.

Kelmarin, Bernama melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat sindiket ‘cuci duit’, berkaitan sindiket berkenaan.

Sebelum ini, sepasang suami isteri bergelar artis, dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram. – BERNAMA

- Advertisement -