Penyelidik Iran kaji manuskrip Melayu kuno

KUALA LUMPUR: Lebih banyak penyelidikan boleh dilakukan mengenai bahan dan teknik yang digunakan dalam penghasilan manuskrip Melayu kuno bertulisan Jawi, menurut seorang sainstis pemuliharaan Iran berpusat di Malaysia yang mengkhusus dalam teknologi bahan manuskrip dan lukisan miniatur.

Dr Mandana Barkeshli berkata beliau berminat untuk mengkaji penggunaan kaedah berlainan dalam penghasilan manuskrip Melayu yang menurutnya belum banyak diterokai berbanding kajian penggunaan bahan dalam manuskrip Islam, seperti manuskrip Safawi Parsi dan Qajar, Turki Uthmaniah dan manuskrip Moghul India yang bergambar.

Beliau percaya untuk individu dapat memahami cara memelihara manuskrip, individu itu mesti mempunyai pengetahuan mengenai sifat bahan yang digunakan untuk menghasilkan naskah tersebut.

Advertisement

“Lebih banyak penyelidikan dapat dilakukan ke atas manuskrip Melayu yang ditulis dalam tulisan Jawi menggunakan tumbuh-tumbuhan dan mineral semula jadi yang masih belum diterokai. Selain itu, kami ingin mengetahui bahan tradisional dan tempatan yang digunakan, seperti racun kulat dan racun serangga, dalam pemeliharaan manuskrip sedemikian.

“Juga penting untuk memiliki pengetahuan bagi menyimpan naskah Melayu ini atau jika tidak, kita akan kehilangannya untuk diperturunkan kepada generasi berikutnya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di kediamannya, di sini, baru-baru ini.

Barkeshli, yang merupakan Felo Kehormat Universiti Melbourne dan lebih 20 tahun menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya, berkata penyelidikan mengenai pelbagai motif hiasan pada manuskrip Melayu – seperti Al Quran yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan dan bunga – menarik untuk dilakukan.

“Sains memainkan peranan besar dalam pemeliharaan karya seni. Berkaitan dengan pengetahuan mengenai bahan dan teknik yang digunakan dalam manuskrip Melayu, yang secara langsung berkaitan dengan perancangan pemeliharaannya, terdapat kekurangan pakar dalam bidang ini,” kata pengasas dan bekas Pengerusi Manuskrip Islam di Cambridge itu.

Barkeshli pernah berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Senibina dan Seni Reka Bentuk Alam Sekitar dan Jabatan Seni Reka di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 2009-2016.

Katanya, beliau telah memantau beberapa projek penyelidikan untuk mengenal pasti bahan dan teknik manuskrip Melayu dan mengkaji potensi bahan tempatan dan tradisional untuk pemeliharaan, pemuliharaan dan pemulihan naskhah-naskhah berkenaan.

Sebagai Ketua Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia yang pertama, Barkeshli diakui di peringkat antarabangsa untuk penemuannya yang berkaitan dengan langkah pencegahan tradisional dalam manuskrip Parsi.

Antaranya seperti safron yang digunakan sebagai perencat untuk mengatasi kesan pigmen hijau pada lukisan miniatur Parsi, dan pewarna inai yang digunakan sebagai racun kulat dalam proses pencelupan kertas Parsi pada abad ke-16 hingga ke-19.

Dalam penyelidikan ilmiahnya, beliau mendapati safron adalah bahan penahan yang kuat dan ia menjadikan pH tembaga kekal dan memudarkan kesan hijau akibat pengoksidaan tembaga yang mencegah kerosakannya di atas kertas dan manuskrip. – BERNAMA