Lim Kit Siang jangan berlepas tangan

- Advertisement -

CUKUPLAH menuding jari dan tuduh menuduh dalam isu penularan COVID-19. Usaha sekarang perlu difokuskan kepada menangani pandemik ini dari terus merebak dan dapat putuskan rantaian secepat mungkin.

Tuduhan Lim Kit Siang bahawa gelombang kedua adalah berpunca dari Langkah Sheraton manakala gelombang ketiga adalah disebabkan ‘ahli politik pintu belakang’ yang cuba membawa kepada kejatuhan Kerajaan Negeri Sabah.

Tiada Langkah Sheraton jika PH tidak berpecah. Dan lebih tepat lagi Langkah Sheraton sendiri memang tidak wujud kerana pertemuan malam itu hanya makan-makan dan balik. Tiada sebarang perbincangan dan perancangan.

Bahkan ‘Langkah Sheraton’ lah yang telah menyelamatkan negara ini. Belum tentu jika Pakatan Harapan (PH) masih lagi sebagai kerajaan mampu menangani pandemik wabak ini dan dapat menyediakan pelbagai pakej ekonomi bagi membantu rakyat yang terkesan. Kerana semua orang tahu 22 bulan sebagai kerajaan, kerjanya menyalahkan kerajaan terdahulu dan memotong sebahagian besar subsidi kepada rakyat.

Sama juga dengan Sabah. WARISAN-PH berpecah dan sebahagian ADUN telah hilang kepercayaan kepada Kerajaan WARISAN-PH.

Dalam masa yang sama PRN boleh dielakkan jika Shafie Afdal berjiwa besar dengan menyerahkan kerajaan kepada mandat baru sebagaimana Johor, Melaka, Perak dan Kedah yang bertukar kerajaan tanpa perlu kepada PRN.

Jika nak dipersalahkan, bermula gelombang pertama, adakah kerajaan di waktu itu tidak cuai dan memandang remeh kepada pandemik yang baru menular?

Boleh rujuk kenyataan beberapa orang Menteri di waktu itu khususnya Menteri Pelancongan.

Jadi marilah sama-sama kita berganding bahu membantu kerajaan dalam menangani krisis besar yang melanda negara ini. Jangan ada yang sibuk untuk menukar kerajaan kerana kononnya mempunyai bilangan yang mencukupi dan selesa bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Kita amat mengharapkan Lim Kit Siang dapat menasihati kawan baiknya supaya menangguhkan hasrat dan impian terlebih dulu. Belum tentu ‘Kerajaan Baharu’ nanti akan dapat melakukan yang lebih baik daripada kerajaan sedia ada.

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
21 Safar 1442 | 9 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 9/10/2020

- Advertisement -
- Advertisement -