Fosil gajah purba ‘Stegodon’ ditemui di Perak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan penyelidik Universiti Malaya (UM) berjaya menemukan fosil gajah purba ‘Stegodon’ yang pertama di Malaysia, dipercayai berusia antara 80 hingga 30,000 tahun di sebuah gua batu kapur di Gopeng, Perak.

UM dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, memaklumkan penemuan itu hasil penyelidikan yang diketuai saintis daripada Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Dr Ros Fatihah Muhammad bersama ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi, Persatuan Paleontologi Malaysia Lim Tze Tshen.

Ros Fatihah berkata penemuan itu juga hasil susulan daripada makluman kumpulan peneroka gua ‘Kinta Valley Watch’, tinjauan dan kajian oleh pasukannya.

- Advertisement -

Beliau berkata gajah Stegodon merupakan satu daripada genus ‘Proboscidea’ daripada keluarga ‘Stegodontidae’ yang sudah lama pupus, berbeza dengan gajah moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di negara ini dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi.

“Tiada penemuan fosil Stegodon di Malaysia sehingga kini. Justeru, perkara ini amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia.
 
“Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba. Bagaimanapun, amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi fauna kuno dan juga perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan proses pengimejan yang dilakukan dua pakar gigi daripada Fakulti Pergigian UM Prof Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak, fosil berkenaan berkemungkinan merupakan Stegodon yang berusia kurang dua tahun.

Justeru, Ros Fatihah berkata kawasan penemuan itu perlu diwartakan supaya dilindungi daripada pencerobohan, selain boleh dijadikan sebagai satu geotapak baharu Geopark Lembah Kinta.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim berkata penemuan fosil itu merupakan satu tonggak sejarah dalam bidang kajian paleontologi Kuaterner di Malaysia.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Dr Ros Fatihah dan pasukan beliau yang telah berjaya membuka lembaran baharu bidang kajian ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -