Tahniah atas pelantikan ADUN (Dilantik) Sabah

DEWAN Pemuda PAS Malaysia memanjatkan penuh kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada PAS Negeri Sabah atas pelantikan Dr Ali Akbar Gulasan ADUN (Dilantik) di bawah Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pelantikan ini memberi makna yang cukup besar bagi PAS khususnya PAS Negeri Sabah yang telah bersama dan berbakti kepada masyarakat Sabah selama hampir 34 tahun. Dengan kekuatan yang ada pada PAS Negeri Sabah, lantikan ini memberi peluang kepada PAS untuk membuktikan kemampuan dalam memimpin bersama bagi melahirkan sebuah Kerajaan dan rakyat yang mampu untuk hidup dalam keadaan yang harmoni dan sejahtera yang diidami oleh semua rakyat Sabah dan Malaysia.

Dengan peratusan yang majoritinya adalah penduduk berstatus Bumiputera dan beragama Islam, Sabah adalah negeri yang bertuah yang mampu untuk menjadi contoh terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap maksud hidup bermasyarakat dan berharmoni yang patut disemai, dan PAS mempunyai tanggungjawab besar untuk merealisasikan impian dengan memanfaatkan pelantikan sulung ini dan ianya telah dibuktikan dengan jiwa besar PAS, walaupun tidak bertanding dalam mana-mana kerusi DUN, namun menjadi tulang belakang kuat kepada kejayaan parti-parti GRS untuk menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lepas.

Advertisement

Memposisikan seorang teknokrat, pemegang status PhD dalam bidang Geografi Bandar, yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah, Dr AliAkbar Gulasan adalah calon yang sangat layak untuk memperkukuhkan kekuatan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dan kelebihan ini membuktikan PAS adalah sebuah parti yang bukan hanya membina agama Islam sebagai teras, malah menjadikan agenda kemakmuran negara sebagai nadi dalam perjuangan parti.

Rakyat Sabah tidak perlu khuatir dan risau kerana semua ahli PAS diajar untuk mencintai dan menyayangi semua insan yang dicipta Allah kerana inilah ajaran yang disemai di dalam ajaran Islam. Lihat sahaja keharmonian kaum di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS sama ada di Kelantan, Terengganu dan Kedah, insya-Allah azam keharmonian ini jugalah yang akan diterapkan dalam memimpin Negeri Sabah.

Sekali lagi, Pemuda PAS mengucapkan jutaan tahniah kepada Dr Ali Akbar Gulasan dan PAS Sabah atas peluang dan amanah yang telah diberikan. Pemuda PAS mendoakan selamat maju jaya dan ‘Seeru ‘ala Barakatillah’ kepada beliau dan seluruh ahli serta pendukung PAS Negeri Sabah, dan marilah kita sama-sama fokus membina Negeri Sabah dan Negara Malaysia yang lebih maju, dan berdaya saing, di samping kita kuat melawan musuh COVID yang kian meruncing di negara kita.

IR HJ KHAIRIL NIZAM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/10/2020