Selangor perlu tingkat penguatkuasaan atasi pencemaran air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor wajar mengambil langkah mempertingkatkan aspek penguatkuasaan dalam menangani isu bekalan air di negeri itu.

Ia termasuklah membabitkan kerjasama rapat dengan agensi-agensi terlibat supaya kejadian pencemaran sumber air tidak berlaku lagi.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (gambar kecil) ketika dihubungi Harakahdaily hari ini untuk mengulas isu pencemaran dan gangguan bekalan air di Negeri Selangor, berkata jika penguatkuasaan lemah, isu sama kekal berulang.

“Penguatkuasaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang yang beroperasi secara haram seperti yang berlaku di Sungai Semenyih hingga menyebabkan operasi LRA Semenyih terpaksa dihentikan sementara.

“Ini kerana sebahagian besar berlakunya punca pencemaran dan gangguan bekalan air adalah berpunca dari kilang haram yang tidak berdaftar sewenangnya membuang sisa buangan.

“Akibat perbuatan itu, telah menyebabkan banyak pihak terutama orang ramai dan penduduk terjejas sekali gus meninggalkan pelbagai kesan negatif berganda,” katanya.

Justeru itu Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang mencadangkan kerajaan negeri bersama negeri jiran perlu wujudkan inisiatif bersama dalam menangani isu pencemaran sumber air.

Selepas insiden pencemaran sumber air akibat pembuangan sisa kumbahan kilang haram di Sungai Gong yang menjejaskan hampir 5 juta penduduk di Selangor yang berlaku pada awal September lepas, insiden sama kembali berulang melibatkan pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Akibat kejadian itu, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihentikan mulai 4 Oktober kerana disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Pada setiap tahun, Selangor merekodkan negeri paling kerap berdepan isu pencemaran sumber air mentah. Isu berulang ini tiada kesudahannya tambahan pula Selangor merupakan negeri perindustrian yang antaranya terdapat kilang-kilang haram muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. – HARAKAHDAILY 8/10/2020

- Advertisement -