Sawit kita diancam Neo-Imperialisme Barat

- Advertisement -

NAMPAKNYA Amerika Syarikat (AS) kini berganding bahu dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam melaksanakan agenda Neo-Imperialisme mereka ke atas industri sawit kita. Sekatan dan pengharaman dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa menerima fakta dan usaha yang telah dilakukan di pihak kita. 

- Advertisement -

Terbaru, AS bakal mengharamkan import produk sawit daripada syarikat FGV Holdings Berhad.  Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan AS (CBP) mendakwa FGV menggunakan tenaga buruh paksa serta buruh paksa kanak-kanak dalam proses pengeluaran minyak sawit. Dakwaan AS ini telah dibantah dengan penjelasan komprehensif FGV.

FGV menegaskan bahawa ia “tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah dan memberikan perhatian serius terhadap setiap tuduhan keganasan fizikal atau seksual serta intimidasi atau ancaman”. FGV juga telah melaksanakan Kod Tingkah Laku Pembekal (SCOC) yang menggariskan prinsip dan standard yang berkaitan.

Malah, FGV melabur sebesar RM350 juta demi “meningkatkan kemudahan perumahan bagi pekerja dengan membina kediaman baru di ladang di seluruh negara, selain menyediakan faedah perubatan tahunan” FGV juga menyediakan Garis Panduan dan Prosedur Pengambilan Pekerja Asing Yang Bertanggungjawab pada 2019 yang sesuai dengan piawaian antarabangsa, serta tidak menyimpan pasport pekerjanya di samping memasang lebih 30,000 kotak keselamatan di seluruh kompleksnya bagi pekerja asing untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat. 

FGV bahkan mempelopori pelaksanaan sistem pembayaran tanpa tunai iaitu dompet elektronik (e-wallet) untuk memudahkan pekerja ladang menguruskan kewangan mereka. Ternyata tindakan AS ini adalah terlalu tergesa-gesa dan tidak mengambil kira segala inisiatif yang telah dilaksanakan FGV.

Hal ini menyamai tindakan EU sebelum ini yang melakukan diskriminasi besar apabila menggugurkan minyak sawit daripada senarai tenaga boleh diperbaharui bagi alternatif minyak untuk kenderaan menjelang tahun 2030 di Eropah dengan alasan kononnya industri sawit mengakibatkan penyahutanan. Sebaliknya, minyak soya yang mengakibatkan kemusnahan hutan yang jauh lebih besar tidak pula digugurkan EU.

Sebagai perbandingan, tanaman sawit menghasilkan lapan kali ganda lebih banyak minyak dalam lingkungan satu hektar berbanding kadar minyak kacang soya yang dihasilkan dalam luas yang sama di Amerika Syarikat. Lalu mengapa minyak sawit menjadi sasaran sedangkan minyak soya tidak? Tidak lain tidak bukan kerana diskriminasi politik sebahagian ahli politik Eropah yang pro-Amerika dan menindas negara kecil seperti Malaysia.

Resolusi EU itu cukup tidak adil kerana ia menyasarkan minyak kelapa sawit secara khusus tetapi tidak minyak sayuran lain. Minyak sayuran lain seperti soya dan minyak biji sesawi (Rape seed oil) yang mendatangkan kemusnahan hutan yang jauh lebih besar tidak diharamkan. Malah fakta kemusnahan hutan akibat industri soya adalah lebih daripada dua kali ganda lebih besar daripada penyahutanan yang diakibatkan oleh minyak sawit. Jawapannya kerana syarikat-syarikat besar pengeluar minyak sayuran seperti Soya, Rapeseed dan lain-lain telah melabur ratusan juta Euro semata-mata untuk merosakkan imej minyak sawit.

Hakikatnya, sejak 2008 lagi, kita menjadi negara pertama yang menghasilkan serta mengeksport Minyak Sawit Mapan (CSPO). Pada 2013 pula kita memperkenalkan Pensijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MPSO). Malah, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan bahawa hingga 22 September lalu, seluas 5.14 juta hektar, atau 87.1 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat sijil MSPO.

Sememangnya, tindakan tegas kita mengheret EU ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menerusi Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) pada Julai lalu adalah tepat.  Tiga juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara bakal menerima impak negatif termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit.  Kedua-dua tindakan EU dan AS ini adalah manifestasi sikap neo-imperialis yang cuba untuk menjejaskan industri sawit demi kepentingan pelobi tertentu di negara mereka – dengan fitnah dan dakwaan berat sebelah yang nyata.  Sama-samalah kita doakan semoga Allah memelihara industri sawit kita.

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 8/10/2020

- Advertisement -