Perak anjur Tilawah Al-Quran norma baharu

tilawah

IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berbesar hati menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Tilawah Al-Quran Rakaman Video Sempena Maal Hijrah Peringkat Dewasa di pejabatnya, di sini semalam.

Advertisement

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin, inisiatif diambil oleh kerajaan negeri melalui portfolionya itu memandangkan pertandingan secara lansung tidak dapat diadakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya lagi, sambutan yang menggalakkan bagi pertandingan tersebut untuk kategori remaja pada Julai lalu menjadi pemangkin untuk pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menganjurkan pertandingan sedemikian dalam kategori berbeza.

“Tempoh PKP ini, dalam usaha kita tidak dapat mengadakan pertandingan Tilawah Al-Quran seperti tahun-tahun sebelum ini, jadi kita teruskan dan anjurkan sekali lagi program yang pernah diadakan.

“Alhamdulillah, program kali ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan oleh rakyat negeri Perak dan saya berharap mana-mana pertandingan seperti ini dapat diadakan dengan cara yang sama sekiranya Pandemik ini masih belum reda,” ujarnya selepas majlis tersebut.

Bagi pertandingan Tilawah Al-Quran Rakaman Video kali ini, tempat pertama kategori Qari dirangkul oleh Nur Hakim Mohamed Nor dan tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh Mohamad Syazwan Abdullah dan Mohamad Anas Razali.

Manakala kategori Qariah pula dijuarai Noor Suhaiza Chulan dan tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh Nurul Isnani Mohd Jamaee dan Habsah Ismail.

Johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang RM2,000 manakala Naib Johan dan penyandang tempat Ketiga pula membawa pulang RM1,500 dan RM1,000 masing-masing.

Dalam majlis sama, Menteri Besar bersama Mohd Akmal turut menyampaikan Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik kepada Masjid Idrisiah, Kariah Bukit Bertam yang membawa pulang RM5,000 dan RM30,000.

Wang tersebut adalah peruntukan pembangunan manakala bagi  Anugerah Pengurusan Kubur Terbaik pula disandang Pengurusan Perkuburan Gelong Pepuyu yang membawa pulang RM5,000 dan RM10,000 peruntukan pembangunan tanah kubur.

Turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Timbalan Pengarah JAIPk, Harith Fadzillah Abdul Halim.

Pertandingan Tilawah Al-Quran Rakaman Video Sempena Maal Hijrah Peringkat Dewasa yang diadakan pada Ogos lalu merupakan pertandingan yang kedua seumpamanya diadakan di negeri ini berikutan penularan wabak Covid-19 dan disertai oleh 36 peserta anak kelahiran Perak. – STRATCOM