MN ziarah keluarga mangsa kemalangan maut

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Wakil Muafakat Nasional (MN) daripada PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Indera Mahkota telah sama-sama mengadakan kunjungan prihatin ke rumah keluarga mangsa kemalangan maut, semalam.

- Advertisement -

Mangsa, Siti Rohani Shapaie @ Shafie seorang tukang cuci di Gebeng, Kuantan yang menunggang motosikal telah terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 34 Jalan Kuantan-Kemaman dan meninggal di lokasi.

Ziarah itu bertujuan menzahirkan rasa simpati dan takziah buat keluarga yang kini kehilangan tonggak kehidupan mereka di mana ternyata masih bersedih ketika ditemui di Kampung Sungai Ular, di sini.

Lawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu hadir bersama isteri, Nor Azni Wahab serta Ketua Wanita Umno Indera Mahkota, Wan Napiah Wan Yusuf ini bagaikan duduk sama rendah berdiri sama tinggi.

Pertemuan mereka dengan anak Allahyarhamah, Mohd Fakhrul Razi Abd Rahim, 18 dan Fatihah Aina Abdullah, 8 tidak putus-putus memberikan kata semangat termasuk supaya menyambung pelajaran demi masa depan.

Kedua anak ini merupakan adik-beradik berlainan bapa, ditinggalkan selamanya oleh arwah yang juga ibu tunggal, kini berteduh kasih kepada nenek mereka, Ramlah Yusof iaitu seorang ibu tunggal juga.

Andansura selaku ADUN Beserah dimaklumkan oleh Pengetua Sekolah Kebangsaan Sungai Baging, Nurina Jan Mustafa Kamal bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menghubungi pihak penjaga dua beradik ini.

Urusan berkaitan sumbangan dan bantuan juga difahamkan dalam perhatian Jabatan Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang serta Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Daerah Kuantan.

Pihak Badan Khairat Kematian Kampung Sungai Ular turut berbuat tindakan sama, manakala Nurina Jan juga menyatakan perhatian yang penuh oleh pihak sekolah terhadap kebajikan pelajarnya, Fatihah Aina.

Andansura berharap agar bantuan seumpama disalurkan kepada kes-kes lain yang membabitkan ibu tunggal dan anak yatim, di mana mewakili Muafakat Nasional pihaknya telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa. – HARAKAHDAILY 8/10/2020

- Advertisement -