Isu air: Di mana MB Selangor?

- Advertisement -

RAKYAT Selangor dikejutkan lagi dengan kemelut yang acapkali melanda, iaitu insiden bekalan air yang terputus. Negeri Selangor kaya dengan hasil industri yang pesat, tetapi mundur dari sudut penjagaan sumber airnya. Amat malang sekali, masalah bekalan air ini seringkali berlaku hampir setiap bulan.

Kemelut ini bermula dengan satu insiden paip pecah di Persiaran Mimbar, Bukit Jelutong pada 30 September 2020 yang lalu. Hal ini mengakibatkan, berlakunya gangguan bekalan air di Daerah Petaling untuk beberapa hari. Perkara ini haruslah diperhalusi semula kerana kejadian paip pecah seringkali berlaku, walaupun sudah diselenggera beberapa kali.

Kejadian seterusnya berlaku pada 4 Oktober 2020, yang melibatkan pemberhentian tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi berikutan pencemaran di sumber air mentah. Insiden kali ini menyebabkan lebih banyak kawasan yang terjejas, iaitu sebanyak 274 kawasan, yang melibatkan 4 daerah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. Di kala rakyat mengalami kesusahan akibat virus COVID-19 yang masih lagi merebak, ditimbunkan lagi dengan masalah gangguan air yang menjejaskan kehidupan seharian rakyat. Sungguh malang sekali apabila gangguan air ini berlarutan selama beberapa sehingga hari ini.

- Advertisement -

Kilang-kilang haram yang beroperasi di tepian-tepian sungai seharusnya dipandang serius oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor. Tidak perlu menunggu nasi menjadi bubur baru ingin bertindak. Masakan pada ketika itu, sungai sudah tercemar, rakyat makin hilang sabar. Jalankanlah tugasan itu dengan penuh amanah, agar kelak keadaan tidak menjadi parah.

Marilah sama-sama kita hayati sebuah potongan Hadis Nabi S.A.W yang berbunyi:

لَا يَبُولَنَّ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الرَّاكِدِ

“Janganlah sekali-kali kamu membuang sisa-sisa yang kotor ke dalam air yang tenang”

(Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim)

Para ulamak menafsirkan ‘sisa-sisa yang kotor’ itu termasuk bahan-bahan yang mencemarkan kejernihan air, seperti bahan toksik, sisa buangan sampah dan sebagainya.

Jutaan terima kasih sekali lagi ditujukan khas buat syarikat Air Selangor yang proaktif menangani isu air yang berpanjangan ini.

Pemuda PAS Bangi ingin mendesak Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri supaya lebih serius dengan mewujudkan Surahanjaya Khas yang terdiri dari kalangan wakil kerajaan, pembangkang dan badan berkepentingan dan mengeluarkan satu Pelan Pemulihan Air di Selangor dengan kadar segera. 

“Demi Islam”

NADZIR HELMI
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 8/10/2020

- Advertisement -